NASIONAL

Rafizi: Najib Bohong, Pinjaman PTPTN RM 24.5B Bukan RM 43B

SHAH ALAM, 11 APR: Kerajaan negara ini mampu menampung hutang PTPTN sebanyak RM24.7 bilion yang sedang ditanggung oleh kebanyakkan bekas pelajar lulusan institusi pengajian awam dan swasta hari ini.

Jumlah pinjaman PTPTN sebanyak RM43 bilion seperti yang disebut oleh Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini juga merupakan satu pembohongan kerajaan untuk lari dari memikul tanggungjawab memberi pendidikan percuma kepada rakyat negara ini.

Sebaliknya jumlah sebenar pinjaman PTPTN yang telah dibayar kepada peminjam sehingga Disember 2011 hanya RM27.5 bilion, kurang  hampir separuh dari yang disebut Perdana Menteri itu.

Setelah ditolak jumlah bayaran yang telah dibuat oleh pelajar, menjadikan jumlah hutang PTPTN yang tinggal adalah 24.7bilion, merupakan satu jumlah yang mampu dibayar kerajaan.

Demikian beritahu Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli dalam majlis dialog ‘Rundingcara PTPTN dan Masa Depan Pembiayaan Pendidikan Tinggi yang diadakan di Quality Hotel, Shah Alam malam tadi.

“Jumlah diluluskan dengan jumlah yang telah dibayar kepada peminjam sebenar adalah berbeza dan jumlah yang saya keluarkan ini datangnya dari sumber dalaman PTPTN sendiri.

“Jumlah pinjaman sebenar ataupun yang telah dibayar kepada peminjam itu lah angka sebenar iaitu RM27.5 bilion.

“Sebab itu kalau ada yang sebut RM43bilion,  itu adalah satu pembohongan untuk menakut-nakutkan rakyat,” kata beliau dalam majlis anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu.

?Kalau kerajaan tidak mahu maafkan RM24.7 bilion ini, ini memang betul-betul jahatlah,” ujarnya lagi.

Rafizi turut menjelaskan mekanisma pembayaran hutang PTPTN yang akan dipraktikkan adalah sama dengan amalan pembayaran hutang oleh kerajaan-kerajaan di dunia termasuk Malaysia.

“Kerajaan sengaja menakutkan rakyat, kalau kerajaan bayar RM43 bilion boleh jadikan kerajaan bankrap.

“Kenyataan ini sebenarnya cuba sembunyikan fakta sebenar dan menakutkan rakyat.

“Walaupun hutangnya RM24.7 bilion, jumlah hutang ini bukanlah dibayar sekaligus.

“Bila kita umumkan kita akan maafkan hutang PTPTN RM24.7 bilion, bukannya  esok kita kena kosongkan akaun perbendaharaan, KWSP, Petronas bayar hutang PTPTN.

“Mana-mana ahli ekonomi tahu, sudah jadi amalan mana-mana negara, hutang akan dibayar dalam satu jangkamasa tertentu.

“Kerajaan Malaysia pinjam dengan Bank Dunia yang Mahathir buat pada 1999 baru habis bayar pada tahun lepas 2011.

“Pembayaran hutang yang diambil paling kurang pun sepuluh tahun.

“Ini satu lagi kenyataan yang membodohkan rakyat menggambarkan seolah-olah hutang PTPTN kena bayar sekaligus kalau nak dihapuskan.

“Jadi kalau untuk bayar semula pinjaman PTPTN yang dah dibayar kepada pelajar sebanyak RM24.7 kita boleh anggarkan sebanyak RM2 bilion selama 15 tahun.

Dalam pembentangan Rafizi, beliau turut menyediakan ‘plan B’ untuk  pembayaran semula kepada PTPTN sekiranya negara terpaksa menghadapi senario buruk.

“Kalau anda ambil ‘kos financing’ anda akan faham, dalam ‘worse case senario’ hutang ini boleh di refinancing kan (pembiayaan semula), supaya hutang boleh distrukturkan semula dengan jumlah lebih sesuai untuk dibayar kerajaan,” katanya.

Ketika menjawab satu soalan dari salah seorang pelajar yang hadir, Rafizi  merumuskan PTPTN masih boleh dimansuhkan tanpa mengambil kira soal ketirisan yang berlaku dalam kerajaan hari ini.

?Hari ini saya tidak sebut langsung soal ketirisan. Dalam ketirisan sekali pun kita masih boleh hapuskan PTPTN.

“Kalau kerajaan sekarang yang banyak ketirisannya sekalipun, duit yang ada masih mampu tampung hutang PTPTN,? katanya lagi.

Sebelum itu Rafizi turut menjelaskan keuntungan yang diperolehi kerajaan dari Petronas wajar disalurkan dalam institusi pendidikan termasuk membayar balik hutang PTPTN yang ditanggung oleh pelajar lepasan universiti.

Menurut Rafizi, di kebanyakkan negara-negara lain, satu tabung khas  pendidikan diadakan untuk tujuan tersebut.

Hutang PTPTN yang ditanggung oleh kebanyakkan pelajar lepasan pengajian tinggi hari ini mula dianggap sebagai ‘badi’ bagi golongan tersebut apabila terpaksa menanggung dalam satu masa yang panjang.

Selain itu, bagi sesetengah bekas pelajar pula melabelkan hutang PTPTN sebagai ‘Along Berlesen’ apabila mereka dikenakan faedah hutang yang tinggi.

Ketika menyentuh perkara itu, Rafizi menganggap ianya sebagai kesan buruk apabila pinjaman tersebut dikomersialkan dan berorientasikan keuntungan.


Pengarang :