NASIONAL SELANGOR

Rafizi: Pendidikan Percuma Tanggungjawab Kerajaan Pusat.

SHAH ALAM, 11 APR :Tanggungjawab terhadap dasar, penambahbaikan dan kaedah sistem pendidikan negara  merupakan tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Pusat dan bukan dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Justeru sebarang hala tuju dan mekanisma perlaksanaan sistem pendidikan negara ini termasuk pelbagai caj yang dikenakan kepada penjaga dan para pelajar ditentukan oleh Kementerian-kementerian berkenaan.

Manakala kerajaan-kerajaan negeri hanya melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh kementerian tersebut di atas dasar federalisme.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menegaskan, Kerajaan Pusat dibawah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk menaik taraf sistem pendidikan di negara ini.

Rafizi berkata, adalah tidak adil bagi Kerajaan Pusat untuk terus menekan Kerajaan Selangor untuk melaksanakan dasar pendidikan percuma kerana ini bukan dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Katanya, jika Selangor ingin melaksanakan pendidikan percuma, Kerajaan Pusat seharusnya berlaku adil dengan memberi agihan kewangan yang sepatutnya kepada Kerajaan Negeri.

“Jika dari sudut polimik politik, Kerajaan Pusat tidak boleh menuduh kenapa Selangor tidak memberikan pendidikan percuma kerana Kerajaan Pusat sendiri yang mengehadkan agihan kewangan kepada  Selangor,” jelas beliau ketika sesi rundingcara PTPTN dan masa depan pembiayaan pendidikan tinggi di Quality Hotel semalam.

Bagaimanapun, menurut Rafizi, soal pendidikan adalah lebih penting untuk dibincangkan berbanding soal politik kerana generasi muda kini terhimpit dengan bebanan hutang yang melampau akibat sistem yang digunapakai sekarang.

“Bagaimana Kerajaan Pusat boleh mengeluarkan bajet hampir 200 peratus yang melebihi belanjawan hanya untuk memberikan biasiswa pendidikan pada era 70 an dan kenapa sekarang tidak boleh?,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil bagi agihan kewangan yang telah disumbang Kerajaan Negeri kerana Selangor menyumbang hampir 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2011.

Malah, Kerajaan Selangor hanya mendapat hampir dua peratus agihan kewangan yang diberikan Kerajaan Pusat dan ini menunjukkan sikap Kerajaan Pusat yang ternyata berat sebelah.


Pengarang :