Selangorkini
NASIONAL

Salahuddin : DBKL Harus Biarkan Mahasiswa Terus Berkhemah

KUALA LUMPUR, 17 APR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur didesak agar membenarkan aktivis mahasiswa terus berkhemah di Dataran Merdeka bagi memperjuangkan permansuhan PTPTN.

Mereka harus dibenarkan terus berkhemah sebagai lanjutan dari himpunan mereka pada 14 April, selagi mereka tidak mencetuskan keadaan huru hara atau porak peranda, kata MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub.

Salahuddin, yang turun untuk berunding dengan DBKL bagi pihak aktivis tersebut pada Ahad lalu, berkata, setakat ini, diyakini tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya rasa semua pihak perlu memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk menyatakan hasrat dan perjuangan mereka.

?Saya telah menyatakan selagi mana perhimpunan itu terkawal dan aman serta tidak mencetuskan porak peranda maka peluang harus diberikan kepada mereka,” katanya kepada TVSelangor di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, lebih 500 aktivis mahasiswa telah mengadakan perhimpunan aman di Kuala Lumpur untuk pemansuhan PTPTN dan mendesak agar kerajaan memberikan pendidikan percuma.

Sebahagian daripada mereka telah memasang lima buah khemah di satu sudut Dataran Merdeka bagi meneruskan kempen mereka.

Bagaimanapun, semalam DBKL bertindak merampas khemah yang dipasang biarpun pada awalnya, agensi itu bersetuju membenarkan mereka berkhemah.

“Tidak perlulah sampai DBKL merampas khemah-khemah mereka. Prinsipnya mana-mana perhimpunan pun selagi mana ia dianjurkan dengan jelas matlamatnya maka ia tetap punya hak dan tidak bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan,” katanya.


Pengarang :