NASIONAL

‘Sembang Sembang, Duduk Duduk, Bantah Bantah’ Sempena Bersih 3.0

SHAH ALAM 10 APR : Sempena Perhimpunan “Duduk, Bantah” di Kuala Lumpur, satu pra-himpunan Bersih 3.0 anjuran PRORAKYAT Selangor akan diadakan di Dataran Shah Alam pada 21 April ini bermula jam 3 petang.

Bertemakan ‘Sembang Sembang, Duduk Duduk, Bantah Bantah’ perhimpunan itu dijangkakan menarik sekitar 500 orang iaitu ahli atau wakil NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang menyokong Bersih 3.0.

Pengerusi PRORAKYAT, Khairul Anuar Othman berkata orang ramai juga digalakan
menyertai program santai tersebut.

“Ini sebagai program pemanas badan sebelum Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada April 28,” beliau berkata di dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat MP Shah Alam di sini petang tadi.

PRORAKYAT juga menyatakan sokongan rasmi mereka terhadap tuntutan Bersih 3.0 yang mahukan  pilihanraya bersih dan adil.

Khairul Anuar turut menyeru pihak polis untuk memberikan kerjasama agar kepincangan yang berlaku pada himpunan Bersih 2.0 tidak berulang.

Turut hadir dalam sidang media ialah Timbalan Pengerusi PRORAKYAT, Anizan Othman selain Setiausaha Agungnya, Mohd Naquib Carmeil Roseli.


Pengarang :