NASIONAL SELANGOR

Simbah Cat Di Billboard Taktik Murahan dan Bacul

KUALA LANGAT, 27 APR: Pemimpin Pakatan Rakyat Kuala Langat mengecam tindakan menyimbah cat pada billboard dan banner program Kerajaan Selangor dan menyifatkan perbuatan itu sebagai taktik bacul menjelang pilihanraya.

Pihak tidak bermoral didapati menyimbah cat ke billboard mahupun banner khususnya yang mengandungi program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Tinjauan Tv Selangor di sekitar jalan utama menghala ke Banting mendapati, beberapa papan iklan disimbah cat bewarna merah dan kuning terutamanya pada gambar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Kuala Langat Abdullah Sani dan ADUN Telok Datok, Philip Tan Choon Swee.

Antara kawasan lain yang menjadi sasaran ialah di persimpangan Morib, di lampu isyarat sekitar Jenjarum, persimpangan Sungai Manggis dan kawasan hadapan bangunan Majlis Daerah Kuala Langat sendiri.

Apabila dihubungi, Abdullah berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dalam menghadapi provokasi sebegini dan beliau percaya rakyat sedang memerhati dan boleh menilai dengan bijak.

“Situasi ini jelas menunjukkan kebaculan pihak tertentu sebelum bertarung di gelanggang sebenar lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya. Papan iklan disimbah cat kemudian diletakkan longgokkan sampah dibawahnya.

Adun Telok Datok, Philip Tan Choon Swee pula terkejut apabila dihubungi oleh orang awam berhubung kejadian ini dan beliau terus memaklumkan perkara ini kepada MDKL.

“Bilboard disana diletakkan hampir setengah tahun lalu sehingga sekarang. Kita tidak tahu siapa buat dan ini merupakan cara yang tidak baik. Saya terkejut apabila dimaklumkan perkara ini,” katanya.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Langat semalam.

Ahli Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), dari PAS, Abdul Rahman Amir menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tindakan tidak bermoral.

?Kemungkinan perbuatan kotor begini dijalankan pada waktu malam,” jelas Rahman.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat tersebut berasaskan pemikiran politik sempit namun beliau tidak mengesyaki mana-mana pihak.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan berharap ianya tidak berulang kembali kerana ia menjejaskan imej awam selain melibatkan penggunaan dana rakyat,” ujar Rahman.


Pengarang :