NASIONAL SELANGOR

TERAS: PTPTN Wajar Dihapus

SHAH ALAM, 24 APRIL : Cadangan Pakatan Rakyat menghapuskan skim pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berjaya mengambil alih kerajaan selepas pilihanraya Umum (PRU) ke-13 akan datang dilihat sebagai suatu yang rasional untuk dilaksanakan.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata dalam suasana ekonomi negara yang semakin berkembang tidak sewajarnya disertai dengan amalan ketirisan yang semakin membumi dikalangan pemimpin kerajaan.

Menurut Azmi, hasil negara itu sewajarnya disalurkan untuk memberi hak pendidikan percuma dengan menghapuskan skim pinjaman yang membebankan anak muda.

“Kini keadaan ekonomi sudah berubah, walaupun tidak seperti apa yang diharapkan sekurang-kuranngnya keadaan ini memungkin kerajaan untuk bersikap cermat dan cekap dalam menguruskan kewangan negara.

“Malangnya, itu semua tidak dilakukan sebaliknya pemborosan dan ketiriasan dana rakyat semakin parah sekaligus membataskan mereka (kerajaan) untuk membiayai pinjaman pelajaran ini,”ujarnya ketika dihubungi TVSelangor.

14 April lalu, kerajaan berdepan dengan kebangkitan rakyat khususnya anak muda yang mengambil jalan untuk berdemonstrasi di ibu negara bagi mengkritik kegagalan kerajaan menjaga kebajikan dan hak mereka.

Gerakan rakyat itu juga mendesak supaya pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat.

Mereka juga sebulat suara melontarkan pendirian bahawa pendidikan adalah milik semua dan bukan untuk diperdagangkan.

Mengulas lanjut berhubung kebangkitan rakyat, Azmi berkata ia adalah suatu yang membanggakan kerana rakyat hari ini sudah berani bangkit bersuara setelah sekian lama ditindas.

Menurut Azmi, PRU-12 adalah bukti bahawa kebangkitan rakyat telah membuahkan hasil dengan menyaksikan perubahan dalam lanskap politik negara.

“Yang takut pada perubahan adalah BN dan bukannya rakyat.

“Rakyat sentiasa berusaha untuk mengubah tetapi mereka (BN) memgambil langkah menyuntik perasaan fobia kepada rakyat untuk membataskan cubaan itu,”jelasnya.


Pengarang :