NASIONAL

Teras: Rakyat Tiada Pilihan Selain Gerakkan BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 5 APR : Rakyat di negara ini tidak mempunyai pilihan selain menyertai BERSIH 3.0 sebagai suatu suara sepadu rakyat selain memberi tekanan kepada kerajaan supaya di adakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Selama ini peranan yang telah diberikan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mewujudkan pilihanraya yang adil telah gagal dilaksanakan kerana terdapat banyak campurtangan politik di pihak kerajaan Umno-BN.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, Perhimpunan Bersih 3.0 ini amat relevan dilaksanakan kerana Malaysia adalah negara demokrasi dan rakyat menuntut suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih daripada segala penyelewengan.

“Malaysia telah dalam proses untuk menjadi sebuah negara yang demokrasi dan sudah tentunya mahukan sistem yang terbaik dalam pilihanraya kerana pilihanraya adalah satu rukun dalam konsep demokrasi,” ujar Azmi ketika di hubungi MediaSelangor.

Selain itu katanya, Bersih 3.0 diharap memberi kesan yang diharapkan dan diambil perhatian yang serius oleh Kerajaan Pusat dan SPR kerana sudah banyak hal-hal membuktikan adanya perkara yang tidak lancar dan penyelewengan yang akan mencacatkan pilihanraya akan datang.

Pada 28 April ini BERSIH 3.0 akan di adakan di Dataran Merdeka yang bermotokan “Duduk dan Bantah” yang akan diketuai Sastrawan Negera, A Samad Said.

Berhubung himpunan BERSIH 3.0, Azmi berkata kerajaan dan SPR seharusnya lebih peka dengan tuntutan dan kehendak rakyat dan bukannya menghukum rakyat yang mahukan perubahan dan ketelusan dalam pilihanraya.

“Pengundi muda¬† yang mempunyai akses maklumat yang lebih terperinci akan menjadi tunjang BERSIH 3.0 kerana mereka mahukan undi mereka dihormati dan bersih dari segala penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.

“Kita mendapat maklumbalas dari pengundi-pengundi muda yang mahukan suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih kerana terdapat banyak bukti-bukti penyelewengan yang dilakukan oleh SPR,” jelas Azmi.

BERSIH 3.0 dilancarkan ekoran kegagalan laporan jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya yang didakwa tidak menunjukkan komitmen untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih seperti mana yang dituntut BERSIH 2.0 sebelum ini.

BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lalu menuntut lapan perkara. Antaranya: membersihkan sistem pilihan raya, pembaharuan pengundian pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang adil, 21 hari tempoh berkempen, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah politik, dan hentikan politik kotor.


Pengarang :