NASIONAL

18 Bulan Berlalu, Polis Masih Gagal Siasat Insiden Samseng Pukul Adun Sekinchan

SHAH ALAM,3 MEI : Adun Sekinchan, Ng Suee Lim kesal dengan tindakan pihak polis yang masih gagal mengambil sebarang tindakan tegas terhadap samseng yang didakwa dari kalangan penyokong Umno serta didalangi pemimpin Umno Tanjong Karang dua tahun lalu.

Pada 4 November 2010, Suee Lim mendakwa dipukul kira-kira 30 hingga 50 ahli Umno Tanjong Karang yang didalangi Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafiee Asmawi.

Ng Suee Lim berkata, sehingga hari ini sudah 18 bulan kes itu berlaku namun tiada sebarang tindakan yang dikenakan terhadap penyerang.

“Sampai hari ini 18 bulan yang lalu dan kita mempunyai saksi-saksi, polis sudah memanggil dua kali pihak saksi kejadian Hamidun Salim untuk membuat pengecaman kepada pihak-pihak yang memukul itu tetapi malangnya orang yang dipanggil untuk membuat kawad cam itu tidak hadir sebanyak dua kali.

“Kita kesal mengapa polis tidak mengeluarkan waran tangkap kepada mereka yang tidak hadir,” katanya di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini bagi urusan saman Noh Omar terhadap beliau berhubung isu subsidi padi.

Hadir di pekarangan itu, kira-kira 30 penyokongnya yang menyatakan pendirian bersama agar  polis segera mengambil tindakan tegas.

Tambah beliau, tempoh selama 18 bulan tanpa sebarang tindakan terhadap penyerang-penyerang beliau tidak dapat diterima seraya menjejaskan professionalisme polis.

“Saya minta penjelasan kepada pihak polis mengapa samseng-samseng itu tidak dipanggil untuk kawad cam dan diambil tindakan,” katanya.

Dalam kejadian terbabit Ng Suee Lim dipukul dan ditendang di bahagian perut, kepala dan tangan berhampiran Kampung Kunci Air Buang di Kampung Sawah Sempadan.

Selain itu, dua pembantunya turut mengalami kecederaan ringan dan kereta milik pengiringnya juga kemik di bahagian pintu belakang.

 

 

 

 


Pengarang :