Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

90 Peratus Kawasan Di Selangor Bakal Dinaik Taraf Perbandaran

SHAH ALAM, 19 MEI: 90 peratus  kawasan di negeri Selangor dijangka akan mendapat pengiktirafan sebagai kawasan perbandaran dalam daerah-daerah negeri Selangor menjelang tahun 2014.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Jamuan Bersama Rakyat sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri kepada rakyat Selangor.

Menurut Abdul Khalid dalam majlis di Taman Putra Perdana  malam tadi, selaras dengan pembangunan di Selangor, rakyat negeri itu akan menikmati pelbagai kemudahan prasarana moden.

“Kita akan didedahkan dengan prasarana, jalan raya, LRT, MRT dan jalan raya bertingkat dan juga kalau ada pertanian, ia pertanian moden yang menggunakan teknologi moden, bukan lagi menggunakan tenaga kekuatan manusia,” katanya.

Di samping meluahkan rasa berterima kasih kepada kakitangan awam, pemimpin masyarakat dan masyarakat di negeri itu, Menteri Besar turut menggesa agar semua lapisan masyarakat di negeri ini mengambil peluang dari program-program yang dilancarkan oleh kerajaan negeri.

“Jadi kita berterima kasih kepada rakyat negeri Selangor dan kita sama-sama berdoa supaya mendapat kemakmuran.

“Pada saya kemakmuran tidak akan berjaya jika tidak semua rakyat merasa dan merasakan dirinya diberikan peluang.

“Kita bersetuju pembangunan negeri Selangor dibuat atas dasar tiada keluarga yang tertinggal dalam mengejar pembangunan.

“Sertailah program-program negeri, sertailah usaha-usaha yang kita lakukan dan tak lama lagi di Sepang kita akan adakan program mengenal pengundi dalam senarai pengundi,” katanya lagi.

Dalam majlis yang diadakan malam tadi, dianggarkan kira-kira seribu orang penduduk Taman Putra hadir memeriahkan majlis tersebut.

Selain jamuan makan malam, Abdul Khalid turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Futsal Piala Menteri Besar dan sumbangan kompang kepada pasukan kompang.


Pengarang :