NASIONAL SELANGOR

Azmin: Jangan Heret Keluarga Ke Kancah Politik Jijik Umno

SHAH ALAM, 6 MEI: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali hari ini menyeru agar media kawalan Umno tidak membabitkan ibu beliau sebagai bahan politik Umno yang amat menjijikan.

Menurut Azmin dalam satu kenyataan media hari ini, hubungan kekeluargaan perlulah diperlihara dan bukan diaibkan di dada-dada akhbar.

“Saya menyeru kepada media supaya tidak menganggu ibu saya dan UMNO janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik UMNO yang kotor dan jijik.

“Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media,” menurut kenyataan media Ahli Parlimen Gombak dan juga Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa itu.

Menurut kenyataan Azmin itu lagi, beliau turut melahirkan rasa bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang taat setia dan anak-anak yang memahami perjuangannya.

“Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

“Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Azmin juga bertekad untuk meneruskan perjuangannya, teruskan fokus terhadap kerja-kerja parti dan berazam menentang politik kotor yang disuburkan oleh Umno dan media kawalannya.

“Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelek yang disuburkan oleh UMNO dan media yang ditunggangi mereka.

“Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah UMNO.

“Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja-kerja Parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012,” ujarnya.

Selain itu, disamping terus mendoakan kesejahteraan ibunya dan kesejahteraan roh bapanya, Azmin turut menyatakan rasa kasih sayang beliau terhadap kedua-dua ibu dan bapanya yang telah mendidiknya semenjak beliau kanak-kanaklagi.


Pengarang :