NASIONAL SELANGOR

Azmin: Umno Cipta Skrip Fitnah Untuk Lari Isu BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 1 MEI : Umno-BN kembali dengan fitnah seks melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat dan terbaru melibatkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Sehubungan itu, Azmin Ali hari ini membidas kenyataan dikeluarkan oleh Utusan Malaysia memetik sumber blog pro Umno-BN yang menyebarkan beberapa keping gambar beliau bersama seorang wanita di tandas.

Sebelum ini, beliau dan ahli keluarganya difitnah berkaitan isu status ibu bapa kandung terhadap anaknya disusuli dakwaan memiliki saham dan dituduh menghina Raja- Raja Melayu dan terbaru dituduh mencetuskan provokasi dalam Bersih 3.0.

” Skrip fitnah Umno-BN ini sudah berulang selama 14 tahun walaupun bukti sudah jelas nyata bahawa tuduhan mereka merupakan pembohongan semata-mata,” ujarnya dalam kenyataan medianya hari ini.

Berhubung isu status ibu bapa kandung terhadap anaknya, Azmin berkata, dia dan isteri sudah melakukan ujian DNA sebanyak dua kali pada Julai 1998 dan mengesahkan perkara tersebut sekaligus memelihara maruah keluarganya.

Selain itu, Azmin menegaskan fitnah jahat ini tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman dilakukan oleh kerajaan Umno-BN.

Katanya, beliau mendesak supaya Umno-BN menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat.

” Munculnya fitnah ini bertujuan mengalihkan pandangan rakyat dari isu penipuan pilihanraya dan penyelewengan dana awam ini dimana Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas Bersih 3.0,” katanya yang juga Adun Bukit Antarabangsa.

Terdahulu, Umno-BN melemparkan fitnah jahat dengan mengaibkan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, pemimpin kanan PKR, Badrul Amin Bahron.

Menurut Azmin lagi budaya fitnah jahat ini memperlihatkan sikap pemimpin-pemimpin Umno yang merendahkan akhlak orang-orang melayu dimata masyarakat lain.


Pengarang :