NASIONAL SELANGOR

Bantu PR Tawan Putrajaya Akan Selesaikan Isu Air

SHAH ALAM 22 MEI : Jika Pakatan Rakyat(PR) berjaya menawan Putrajaya, kesemua masalah dan isu air seluruh negara akan diselesaikan, bukan sekadar di Selangor sahaja.

Demikian jawab Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa BN akan selesaikan masalah air di Selangor jika berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri kelak.

“Lagi satu, bolehkah rakyat mempercayai janji orang sebegini sedangkan beliau dulu menjalankan majlis pecah tanah untuk pembinaan jambatan ketiga di Klang.

“Tetapi selepas kalah pada Pakatan Rakyat, janji pun entah ke mana. Seharusnya pemimpin yang baik berpeganglah pada janji demi rakyat, bukan untuk parti sahaja.

“Orang sebegini, apapun yang dikata, dijanjikannya tidak boleh dipercayai lagi,” ujar Abdul Khalid dalam satu sidang media selepas perasmian Seminar Penyelengaraan dan Pengurusan Fasiliti di Hotel De Palma di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, dakwaan Mohd Zain bahawa kadar rizab air hanya tinggal 2.4 peratus berbanding kadar yang sepatutnya iaitu 20 peratus juga tidak tepat.

“Yang menjadi masalahnya juga, badan yang menguruskan air ini juga tidak betul.

“Sebab itulah antaranya kita melantik Suez (Environment) untuk memeriksa kesemua pelan rawatan air di Selangor,” jelasnya lagi.


Pengarang :