NASIONAL SELANGOR

Bantuan Kewangan, Hakmilik Tanah Masalah Utama Diajukan MB

KUALA LANGAT 11 MEI : Sesi kaunter aduan rakyat bersama Menteri Besar dan Exco Selangor sekali lagi disambut baik oleh penduduk Tanjung Sepat yang berasa lega masalah mereka diberi perhatian oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Seperti V.Jayaraman, 57, yang membawa masalah pemilikan tanah isterinya di Kampung Orang Asli Bukit Kemandol.

Katanya, beliau dan isterinya, Siah Junjung, 45, sudah menetap di kampung itu sejak 18 tahun lalu.

“Tanah kebun dan rumah itu berkeluasan empat ekar tetapi belum mempunyai geran lagi setakat ini, saya sudah berusaha sebelum ini tetapi tidak dapat.

“Kawan-kawan lain di kawasan itu semua sudah pindah, hanya tinggal kami sekeluarga sahaja.

?Sekarang saya sudah lega selepas bersua muka sendiri dengan Menteri Besar.

Tan Sri akan menyelesaikan masalah saya sama ada di tempatkan di kawasan lain dan dibayar pampasan atau lain bergantung kepada hasil siasatan mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks Muhibbah, Tanjung Sepat di sini.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuai beberapa pemimpin tertinggi kerajaan Selangor dalam mengadakan kaunter aduan dan permohonan dalam sesi berjumpa rakyat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari dan exco Dr Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr Xavier Jayakumar, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad dan Ean Yong Hian Wah.

Kira-kira 100 penduduk sempat mengadu masalah perumahan dan memohon pelbagai bantuan kewangan dan pemilikan tanah dalam sesi yang berlangsung selama dua jam itu.

Seorang lagi A. Danom, 62, mengemukan permohonan bantuan kewangan kepada Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Beliau yang merupakan penduduk Tanjung Sepat, berkata sudah empat tahun menumpang di rumah anaknya.

“Hidup saya susah, saya tidak dapat bekerja kerana menghidap kencing manis. Kini saya tinggal bersama anak perempuan saya.

?Rumahnya pun sudah dipotong bekalan elektrik kerana tidak mampu membayar bil.

“Jika boleh saya tidak mahu menyusahkannya kerana anak pun mempunyai masalah sendiri dan tidak bekerja.

?Sekarang sudah dapat jumpa sendiri Yb, sangat lega kerana Yb akan melawat saya dan anak serta akan memberi bantuan kewangan kerana katanya, saya layak untuk menerima,” katanya.

Manakala bagi Misnan Ahmad, 60, peluang bersua muka sendiri dengan Menteri Besar adalah cara yang terbaik bagi menyuarakan masalah penduduk kampungnya.

Beliau yang merupakan Ketua Kampung Kg Jenjarum berkata masih terdapat penduduk termasuk beliau yang tidak dapat hak milik tanah walaupun sudah menetap lebih 20 tahun.

“Sekarang masalah sudah diadukan dan masalah ini juga sudah terus diambil tindakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, saya harap ianya akan dipertimbangkan,” katanya.


Pengarang :