NASIONAL

BERSIH 3.0 : Pendakwaan Bermotif Politik

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Pendakwaan terhadap pemimpin politik yang terlibat dalam perhimpunan BERSIH 3.O pada 28 April lalu merupakan tindakan bermotif politik.

Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tuduhan dibacakan kepada beliau di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jalan Duta pagi tadi.

?Pertuduhan bertujuan politik dan saya minta dibicarakan,? kata Anwar di depan Hakim Mahmud Abdullah.

Anwar dihadapkan ke mahkamah hari bersama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atas dua tuduhan.

Pertuduhan pertama, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (2)(c), Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Di bawah seksyen berkenaan, seorang melakukan kesalahan jika beliau menganjurkan atau menyertai protes jalanan.

Tuduhan tersebut membawa denda maksima RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mereka masing-masing diikat jamin RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin setelah mahkamah menolak permohonan dari pendakwaraya Hanafiah Zakaria bagi menetapkan RM2,000 untuk setiap seorang.

 

Jumlah RM2,000 tersebut dibantah oleh peguam-peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, kerana anak guam masing-masing adalah ahli politik dan tiada sebab untuk melarikan diri.

Bagi pertuduhan kedua, Anwar, Azmin dan Badrul Hisham dituduh di bawah Seksyen 118 Kanun Keseksaan.

Tuduhan itu mengatakan mereka bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Perintah majistret itu adalah larangan kepada orang awam untuk berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada April 28.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.

Anwar, Azmin dan Badrul Hisham sekali lagi mengaku tidak bersalah setelah tuduhan kedua dibacakan.

“Tidak bersalah, buang masa mahkamah sahaja,” jawab Anwar ketika tuduhan kedua dibacakan.

Mahmud menetapkan ketiga-tiga mereka dikenakan bon peribadi bagi tuduhan kedua.

Peguam terkemuka, Karpal Singh telah bertindak selaku peguambela bagi Anwar dan Azmin pula diwakili oleh Sivarasa Rasiah dan dan Gurcharan Singh.

Manakala Badrul Hisham pula diwakili oleh Latheefa Koya.

Pasukan pembelaan Anwar juga melibatkan bekas pendakwaraya Yusuf Zainal Abiden yang pernah terlibat di dalam kes liwat Anwar yang kedua.

Yusof meletak jawatan dari Jabatan Peguam Negara pada akhir perbicaraan kes liwat itu.

Apabila ditanya mengenai penyertaan Yusof, Anwar menyifatkan penyertaan Yusof dalam pasukan peguambelanya memberi banyak makna terhadap ketelusan dan keadilan sistem perundangan negara.


Pengarang :