BERSIH: SUHAKAM Perlu Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Kekasaran Polis | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Zharif Zulkiffeli

BERSIH: SUHAKAM Perlu Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Kekasaran Polis

KUALA LUMPUR 16 MEI: BERSIH 2.0 mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat segera kekasaran yang dilakukan polis terhadap peserta himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu.

Satu memorundum diserahkan oleh Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam beserta enam dakwaan terhadap polis.


Turut hadir sama adalah Peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri dan Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Enam dakwaan tersebut adalah:

*Ketidak wajaran penggunaan gas pemedih mata dan semburan air kimia termasuk melepaskan tembakan secara terus kepada peserta himpunan.

* Kekasaran polis terhadap peserta himpunan termasuk mengasari mereka selepas ditahan.

*Menangkap, mencederakan petugas media selain merampat peralatan media.

* Menahan secara rambang peserta perhimpunan tanpa mendedahkan senarai nama mereka yang disyaki terlibat kepada umum.

*Kekasaran terhadap peserta perhimpunan selain menahan individu tanpa alasan yang memakai t-shirt BERSIH.

*Kegagalan polis mempamerkan butiran pengenalan peribadi seperti nama dan nombor identiti mereka.

Ambiga dalam sidang media berkata, penubuhan suruhanjaya bebas ini penting bagi menjelaskan kepada umum keadaan sebenar pada hari kejadian dan pihak SUHAKAM akan memutuskan perkara ini dalam masa terdekat.

Beliau mengulangi desakan BERSIH 2.0 yang mahu semua senarai nama mereka yang dikehendaki polis dipaparkan kepada umum melalui media dan bukannya memaparkan gambar kepada umum semata-mata.

“Mereka belum memutuskan sama ada akan mengadakan siasatan atau tidak. Ada kemungkinan mereka akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan untuk memutuskan perkara ini,” katanya.

Bersih 2.0 juga menuntut jaminan polis agar mana-mana individu yang menyerah diri bagi membantu siasatan berada dalam keadaan selamat tanpa dicederakan selain dibenarkan untuk membawa peguam.

Awal minggu ini menyaksikan seorang peserta BERSIH 3.0, Mohd Safuan Mamat @ Nordin tampil menyerah diri membantu siasatan di balai Polis Dang Wangi namun dicederakan menggunakan batang paip hitam di dalam lokap.

Lebih mengejutkan, seorang tahanan turut menampar beliau sebanyak empat kali dan polis hanya memerhatikan tindakan berkenaan.

Beliau diminta untuk mengaku bersalah atas kejadian memusnahkan kereta polis dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

Safuan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 turut diminta melaporkan diri di Balai Polis Merchang, Terengganu pada minggu pertama setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION