NASIONAL

Chegu Bard : Anwar, Azmin Didakwa Untuk Alih Isu Tuntutan Rakyat

 

SHAH ALAM, 21 MEI: Pendakwaan terhadap pemimpin tertinggi PKR berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 sengaja dilakukan untuk mengalihkan isu tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya bersih dan adil.

Tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 itu dikatakan tindakan terdesak kerajaan yang mempergunakan polis dan peguam negara, kata Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

TVSelangor difahamkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan president Azmin Ali bakal dikenakan tuduhan yang sama esok di Mahkamah Majistreet Jalan Duta Kuala Lumpur manakala Badrul Hisham pula di Mahkamah Seksyen.

“Jelas ini adalah propaganda dan menyeleweng fakta selepas BERSIH 3.0. Tetapi kita terus fokus kepada isu sebenar untuk menuntut pilihan raya adil, bebas dan bersih.

“Mereka nak alihkan isu, tetapi ini usaha-usaha picisan yang tidak menjejaskan usaha memobilisasi dan meningkatkan kehendak rakyat yang mahu pilihan raya adil, bebas dan bersih.

“Bila kita turun ke bawah selepas BERSIH 3.0 kita tengok sokongan rakyat semakin kuat,” kata Badrul Hisham yang lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard.

Himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April itu menyaksikan seramai 250,000 orang membanjiri Kuala Lumpur.

Suasana aman perhimpunan yang bermula pada 11 pagi itu bertukar ganas apabila polis menembak gas pemedih mata ke orang awam dan bertindak memukul peserta BERSIH 3.0.

“Kes ini adalah kes yang lemah kerana kita ada bukti video dan sebagainya yang banyak untuk menafikan tuduhan ini,” ujar beliau lagi.

Badrul Hisham bakal didakwa dengan dua pertuduhan iaitu mengingkari perintah larangan yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Zubir dua hari sebelum perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan dan menyebabkan rusuhan atau gaduh gempur.

Writ saman tersebut diserahkan oleh sepasukan anggota polis di kediaman beliau di Seremban hari ini.

Sementara itu, Azmin bakal didakwa atas tuduhan sama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kerana mengingkari perintah larangan yang sama.

Writ saman tersebut diterima oleh Hilman Idman yang merupakan pegawai khas Azmin di Ibu Pejabat PKR di sini.

TVS difahamkan, Anwar turut didakwa atas pertuduhan yang sama dengan Azmin.

Setiausaha Kerja Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Syed Syah Syed Osman, mengesahkan Anwar diperintah demikian.


Pengarang :