NASIONAL

Chegu Bard: Hishamuddin Akui Polis Menyerupai Peserta BERSIH Bertindak Ganas


SHAH ALAM, 19 MEI: Kementerian Dalam Negeri harus menjelaskan bagaimana polis berpakaian preman bergerak di kalangan peserta BERSIH 3.0 dan bertindak ganas di dalam himpunan gergasi itu bulan lalu.

Ini berikutan akuan Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein terdapat anggota polis di antara 21 individu yang telah menyerah diri selepas gambar mereka disiarkan di dalam media arus perdana.

Mereka yang menyerah diri itu antara 141 individu yang dijejaki polis berhubung penyertaan mereka di dalam himpunan April 28 itu di mana 250,000 orang membanjiri Kuala Lumpur bagi menuntut pilihanraya adil dan bersih.

Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin berkata akuan Hishammuddin itu dapat ‘dikesan’ dalam satu sidang media yang diadakan pada 14 Mei.

?Hishamuddin dengan jelas menyatakan 21 orang terdiri dari 141 individu yang tersenarai dan telah diiklankan dalam media kononya melakukan keganasan dalam himpunan BERSIH 3.0 telah menyerah diri.

“Apabila diasak oleh wartawan mengenai kenapa tindakan hanya pada orang awam tidak melibatkan polis yang bertindak ganas, Hishamuddin menyatakan antara 21 orang yang menyerah diri itu ada anggota polis juga,” Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata di dalam satu kenyataan di blognya.

Bagaimanapun menurut Badrul Hisham lagi, daripada 141 gambar ‘perusuh’ yang diedarkan oleh polis, tiada satu pun yang menunjukkan individu berpakaian seragam polis.

“Bila ditanya pada sebelum itu ketika penyebaran gambar dibuat polis dengan yakin menyatakan individu yang diiklankan untuk desak serah diri itu semuanya dirakamkan melakukan keganasan.

“Sebaliknya 14 Mei lepas Hishamuddin menyebut ada anggota polis serah diri kerana gambar mereka disiarkan.

“Ini membawa maksud pengakuan dari Hishamuddin ada anggota polis berpakaian biasa juga bertindak ganas dan merusuh dalam Himpunan BERSIH 3.0.?

Badrul Hisham, yang juga Ketua PKR Cabang Rembau, berkata Hishammuddin harus memberi penjelasan sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam isu keganasan polis di dalam himpunan itu.

“Jika tidak beliau harus meletakkan jawatan kerana jelas Kementerian Dalam Negeri terlibat dalam merancang mempergunakan anggota keselamatan untuk menimbulkan kekacauan bagi memberi kelebihan politik kepada parti politik penguasa regim.”


Pengarang :