DAP Makin Diterima Orang Melayu | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

fairuz tahir

DAP Makin Diterima Orang Melayu

SHAH ALAM, 25 MEI : DAP kini makin mendapat tempat di kalangan pelbagai bangsa di Malaysia termasuk orang Melayu disebabkan parti itu dilihat sebagai pertubuhan politik mengutamakan perpaduan kaum.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, ia adalah petanda positif kepada DAP yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR) sebagai alternatif untuk rakyat membuat perubahan terhadap kepimpinan negara.


Menurutnya, usaha dilakukan Umno-BN bagi memburuk-burukkan parti itu berhubung tindakan bekas Naib Presidennya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim keluar parti juga tidak berhasil kerana ketika ini DAP semakin diterima berdasarkan sokongan masyarakat yang kian meningkat.

Tambahnya, segala tohmahan Umno-BN tidak berasas sama sekali termasuk tiada kebebasan bersuara serta amalan perkauman di dalam DAP.

“Walaupun kita tidak setuju dengan kenyataan Tunku Abdul Aziz tetapi tiada tindakan diambil ke atasnya. Itu membuktikan bahawa di dalam DAP memang ada ruang untuk bersuara.

“Ini bukan isu perkauman. Ia tidak patut dijadikan isu perkauman oleh mana-mana pihak atau media kerana yang mengantikan Tunku Abdul Aziz sebagai Senator adalah orang Melayu juga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zairil menjelaskan Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan tokoh akademik Melayu dan pakar sejarah budaya, Professor Dr Ariffin Omar, 62, untuk dilantik ke jawatan Senator bagi menggantikan Tunku Abdul Aziz.

Menurutnya, DAP sesungguhnya mengamalkan pendekatan kerjasama erat biarpun seseorang pemimpin atau ahlinya menyuarakan pendapat berbeza atau bercanggah dengan pendirian parti.

“Apa yang cuba dimainkan oleh Umno-BN itu adalah tidak berasas sama sekali,” katanya merujuk laporan media kawalan Umno-BN yang memperbesarkan isu kenyataan Tunku Abdul Aziz yang tidak menyokong perhimpunan BERSIH 3.0 yang diadakan pada 28 April lalu.

Berikutan itu, Tunku Abdul Aziz bertindak keluar dari DAP berkuatkuasa serta merta pada 14 Mei lalu. Tindakan itu juga menyebabkan tempoh Senator yang disandangnya tidak disambung.

Professor Dr Ariffin yang dicadangkan sebagai pengganti adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Malaysia, menyertai DAP pada 7 Ogos tahun lalu.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION