NASIONAL

Disoal Siasat, Rafizi Persoal Tindakan Bank Negara

PETALING JAYA, 30 MEI: Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli hari ini hairan mengapa Bank Negara memanggil beliau memberi keterangan berhubung pendedahan transaksi yang melibatkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Beliau yang menerima notis secara peribadi disoal siasat di bawah Seksyen 87 (1) (a), Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

“Saya hairan mengapa Bank Negara tidak pula menyiasat hatta mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Salleh Ismail dan keluarga kerana beliau terang-terangan memindahkan wang rakyat secara tidak sah ke syarikat milik milik keluarga beliau di Singapura dan Khazakhstan.

“Perkara ini diakui oleh mereka (NFC) dan bukankah ini perlu disiasat juga oleh Bank Negara di bawah Akta Penggubahan Wang Haram?” soal rafizi.

Jelas beliau, tindakan soal siasat ini memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) tidak mengalu-alukan tindakan proaktif rakyat biasa untuk mendedahkan penyelewengan yang semakin berleluasa.

Rafizi juga menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa pentadbiran beliau tidak memangsakan pemberi maklumat dan melindungi perasuah.

Rafizi sebelum ini mendedahkan pelbagai maklumat berkaitan NFC khuatir jika tekanan yang berterusan dikenakan terhadap beliau dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad bertujuan untuk menutup skandal NFC.

Katanya, meskipun berhadapan pelbagai tekanan, semakin ramai individu dan kumpulan tampil memberikan maklumat mengenai rasuah dan penyelewengan.


Pengarang :