SELANGOR

Dr Shafie : Konsep Interaktif Tarik Masyarakat Lawati Muzium

 

SHAH ALAM 23 MEI: Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Dr Shafie Abu Bakar memberitahu pihaknya kini mempergiatkan usaha menarik minat orang ramai terhadap muzium terutamanya menerusi kaedah teknologi komunikasi.

Usaha ini bagi menyahut saranan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu PADAT mencari inisiatif bagi menarik rakyat mendekati muzium yang terdapat di Selangor.

“Jika kita mahu segala khazanah kita ini dikenali, kita mesti melakukan sesuatu untuk membawa muzium kita kepada rakyat dan bekerja keras untuk menarik minat mereka ini,” jelas Abdul Khalid.

Menteri Besar berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Mengulas lanjut tentang perancangannya, Dr Shafie berkata, selain menambah koleksi terbaru dan menarik di muzium, pihaknya juga akan menggunakan medium komunikasi seperti ‘facebook’ untuk membawa muzium terus kepada masyarakat agar mereka kenal dan tahu apa yang terdapat di dalam muzium.

“Selaras dengan kecanggihan teknologi terkini, kami juga dalam rangka kerja untuk memperkenalkan muzium sukan yang berkonsepkan interaktif, contohnya, pengunjung boleh bermain bola tanpa perlu menendang bola sebenar.

“Kami juga akan menyediakan ruang-ruang kedai sukan di dalamnya untuk menjadikannya lebih dari sekadar muzium, yang mana di samping berehat mereka juga dapat melakukan aktiviti membeli-belah di dalam premis yang sama,” ulas Dr Shafie.

Majlis tersebut turut dihadiri Exco Adat Melayu, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat negeri akan berlangsung selama enam hari bermula 22 Mei sehingga 26 Mei ini bertempat di Muzium Sultan Alam Shah.


Pengarang :