NASIONAL

Faekah: Noh Perlu Tangani Isu NFC, Bukan Air Selangor

SHAH ALAM 28 MEI : Kegagalan Datuk Seri Noh Omar untuk memahami masalah pokok isu air di Selangor bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sendiri terbukti gagal menanggani isu penyelewengan dana NFC yang memalukan seluruh menteri kabinet.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin dalam kenyataan medianya mengulas, isu air yang cuba dibangkitkan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu sebenarnya berpunca daripada pengurusan yang lemah dan pengetahuan yang cetek.

“Disebabkan kelemahan-kelemahan ini, rakyat dipaksa untuk menanggung kos pembinaan Langat 2 yang sangat mahal.

“Kenyataan Noh juga bahawa jika BN menawan semula Selangor maka masalah air akan selesaikan adalah amaran awal BN akan meneruskan Langat 2.

“Kos RM12 billion untuk membina Langat 2 mungkin ditanggung rakyat Selangor hingga ke cucu cicit dengan kenaikan tarif air yang melampau dan membebankan,” jelas Faekah.

Beliau juga menyifatkan Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor sebagai cetek ilmu mengenai usaha yang sedang giat dijalankan Kerajaan Negeri.

“Di samping memberikan perkhidmatan air yang lebih baik, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk meneruskan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan kepada rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri juga ingin rakyat menikmati tarif serendah mungkin kerana air merupakan keperluan asas,” tambahnya lagi.

Mengulas cabaran Noh Omar agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minum air empangan, Faekah berkata tindakan tersebut benar-benar kurang bijak yang hanya menggambarkan betapa ceteknya akal Ahli Parlimen Tanjong Karang tersebut.

“Air empangan hanya selamat diminum selepas dirawat di loji pembersihan bukan seperti negara-negara maju yang mana air paip selamat diminum terus dari paip tetapi di Selangor sebaliknya berlaku.

“Inilah hasilnya apabila pengurusan air diberikan kepada syarikat kroni yang tidak mengutamakan kualiti tetapi mengejar keuntungan semata-mata untuk menambah kekayaan kroni dan keluarga,” ujar Faekah.


Pengarang :