NASIONAL SELANGOR

Fatwa Terhadap BERSIH 3.0 Sempit, Ikut Acuan Umno

SHAH ALAM, 7 MEI: Pemimpin Pakatan Rakyat mengkritik fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini tentang himpunan BERSIH 3.0 dengan mengatakan bahawa fatwa tersebut berat sebelah dan bertujuan memenuhi kehendak pemimpin Umno.

Mereka juga mengatakan adalah tidak adil bagi Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa yang mengharamkan perhimpunan BERSIH 3.0 tanpa melihat gambaran menyeluruh himpunan tersebut.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa itu bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.

“Beliau (Sheikh Yusuf) berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintah yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman,” Muhammad berkata.

“Adalah jelas bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan UMNO yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka.

“Sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merujuk dahulu kepada beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat bagi mendapat fakta yang sebenar apa yang telah berlaku pada 28 hb april yang lalu.?

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menyarankan agar majlis fatwa tidak hanya memandang dari satu sudut yang sempit demi melindungi kepentingan pihak tertentu.

“Majlis Fatwa harus lihat dari semua sudut pandangan bukan hanya dari satu pandangan sahaja dan mereka harus lihat siapa yang cetuskan huru-hara dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

“Majlis Fatwa kena tegaskan, mana-mana pihak yang cetuskan huru-hara memang berdosa, tak kira samada orang awam atau bukan orang awam.

“Samalah juga apabila penindasan, penganiayaan dilakukan kepada rakyat juga adalah sesuatu yang berdosa dan pada masa yang sama menuntut keadilan adalah sesuatu yang dituntut oleh agama,” ujar Tuan Ibrahim kepada TVS hari ini.

Di dalam satu kenyataannya yang lain, Tuan Ibrahim, dengan sinis menempelak mereka yang membiarkan diri dipergunakan oleh pihak seperti perompak, penipu pilihan raya dan penindas.

Beliau mendakwa, pihak yang membiarkan diri mereka dipergunakan sedemikian merupakan pihak yang lebih takut kehilangan gaji dan kedudukan berbanding Allah.

Tuan Ibrahim turut memberitahu TVS, Majlis Syura Ulama PAS akan mengadakan satu perjumpaan dengan Majlis Fatwa Kebangasaan bagi memberi penerangan berkenaan isu BERSIH 3.0.


Pengarang :