Selangorkini
SELANGOR

Forum Bulan Depan Terangkan Cara Terbaru Tangani Isu Air

 

SHAH ALAM 28 MEI : Kerajaan Selangor akan memperkenalkan teknologi terkini rawatan air mentah, antaranya kaedah ‘Portable Treatment Plant’, untuk meningkatkan kapisiti memproses air mentah.

Kaedah tersebut yang boleh ditakrifkan sebagai ?Loji Rawatan Mudah-Alih? adalah antara usaha Kerajaan Selangor dalam memastikan Selangor mendapat bekalan air yang mencukupi dengan harga yang berpatutan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penerangan lanjut tentang cadangan dan usaha kerajaan negeri berkaitan industri air Selangor akan diberikan pada Forum Air yang akan berlangsung 12 Jun ini.

“Rakyat Selangor khususnya akan didedahkan dengan maklumat dan informasi mengapa keputusan ini dibuat dan sebab-sebab mengapa kita menolak cadangan Loji Langat 2.

“Apa sahaja keputusan yang dibuat, kita akan mengambil kira soal kos dalam usaha mendapatkan dan merawat air mentah dengan kaedah terbaik tapi tidak membebankan rakyat.

“Kita berpandukan kepada prinsip asas; jika kita bayar kurang untuk pembekalan air bersih, maka pengguna atau rakyat juga akan bayar kurang.

?Itulah keutamaan kita,” jelas Abdul Khalid dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor pagi ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menolak cadangan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Pahang ke Selangor bagi dirawat di loji Langat 2. Rancangan ini akan menelan belanja RM 8 billion.

Sebagai alternatif, Kerajaan Selangor bercadang untuk mengambil bekalan air dari empangan di Terengganu dengan menggunakan saluran paip bawah tanah sedia ada.

Cadangan ini hanya akan menelan kos RM 700 juta, Abdul Khalid berkata cadangan Terengganu turut akan dibincangkan secara lebih teliti dan mendalam di dalam forum tersebut.

“Itu merupakan antara pilihan yang ada sekiranya kita tidak mendapat bekalan air daripada Pahang selain kosnya yang berpatutan jika dibandingkan dengan cadangan Kerajaan Pusat.

“Kita juga akan menilai kembali keputusan sebelum ini berkenaan pembekalan air dari Pahang itu, kita akan melihat apa yang mendorong keputusan sebegitu dibuat,” ujar Abdul Khalid.


Pengarang :