Pelbagai

Futsal Erat Hubungan Kerajaan Negeri Dan Pekerja Industri

SUBANG JAYA 12 MEI : Kejohanan Futsal Industri Negeri Selangor anjuran Kerajaan Negeri melalui Selangor State Investment Centre(SSIC) Berhad diharap mampu mengeratkan lagi hubungan hubungan dua hala antara pihak industri dengan Kerajaan Negeri.

Demikian ucap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu merasmikan kejohanan tersebut bagi merebut Piala Datuk Menteri Besar Selangor 2012 yang diadakan di Taman Perindustrian Subang di sini pagi tadi.

“Kejohanan yang julung-julung kali diadakan ini juga diharapkan dapat memberi peluang kepada seluruh warga kerja untuk saling mengenali dengan lebih dekat.

“Siapa tahu kita dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam futsal yang mungkin boleh diketengahkan di peringkat lebih mencabar,” ujar Abdul Khalid di hadapan warga industri yang hadir.

Di kesempatan itu juga, beliau menzahirkan setinggi penghargaan terhadap sokongan warga industri dalam usaha menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik sehingga hari ini.

“Para pekilang dan pelabur yang ada di sini hari ini merupakan tulang belakang terhadap kejayaan dan pencapaian ekonomi negeri yang memberansangkan.

“Saya berharap semua warga industri dan pegawai Kerajaan Negeri siap siaga untuk terus mempertingkat lagi usaha menarik pelaburan ke negeri ini,” jelas beliau.

Kejohanan yang bermula seawal jam 10 pagi tadi menyaksikan sebanyak 55 pasukan bertanding namun gelaran johan akhirnya menjadi milik pasukan Rekal Jaya Sdn. Bhd bagi Kategori Lelaki.

Manakala Kategori Wanita pula diungguli pasukan Nippon Paint di mana kedua-dua johan menerima wang tunai bernilai RM 5,000 serta Piala Pusingan.

Naib Johan bagi Kategori Lelaki dimenangi pasukan Perodua A yang menerima wang tunai RM 3,000, sementara pasukan Perodua B yang berada di tempat ketiga pula menerima wang tunai RM 2,000.

Bagi Kategori Wanita pula, pasukan Amsteel yang menjadi Naib Johan berjaya membawa pulang RM 3, 500 dan Tempat Ketiga, Mida HQ pula menerima RM 1,000.

Para pemenang juga menerima medal dan kesemua hadiah kemenangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSIC, Hasan Azhari Idris.


Pengarang :