NASIONAL SELANGOR

Gaji Minima Tidak Efektif Seperti Yang Diharapkan

SHAH ALAM, 14 MEI : Belia Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan pemberian gaji minimum sebanyak RM900 sebulan untuk semua sektor adalah terlalu kecil dan tidak relevan.

Pengerusinya, Mohd Faisal Abu Bakar berkata, walaupun RM900 bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan, rakyat tidak akan puas hati kerana harga barang terus melonjak.

Menurutnya, gaji minima sebanyak RM900 telah diperjuangkan MTUC lebih 10 tahun lalu tetapi jumlahnya ditambah dengan elaun kos sara hidup (KOLA) RM200 menjadikan jumlah gaji RM1,100.

“Persoalannya timbul mengapa Najib membeza-bezakan pemberian gaji minimum kepada pekerja sedangkan keperluan rakyat adalah sama.

?Malah apa yang menjadi kerunsingan, bukan sahaja Perdana Menteri mengumumkan gaji minima RM900, malah ia termasuk elaun.

?Maknanya, gaji RM650 dengan elaun RM250 dan itulah gaji minima. Begitu juga di Sabah dan Sarawak,” ujarnya apabila ditemui di himpunan Hari Pekerja Selangor semalam.

Beliau tidak menolak andaian bahawa pengumuman gaji minima itu adalah atas alasan meraih undi semata-mata menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Namun beliau percaya, rakyat kini tidak lagi dikaburi dengan habuan sementara dan janji-janji palsu Umno-BN, sebaliknya semakin bijak membuat pilihan untuk menolak parti itu pada PRU akan datang.

“Mungkin apabila Umno-BN terus memerintah negara, kita akan ditindas dan tidak menerima hak sewajarnya.

?Ini adalah satu peringatan kepada Perdana Menteri, sekiranya gaji minimum gagal dikuatkuasa sebelum PRU, pekerja akan bangkit menentang habis-habisan untuk menolak Umno-BN,” tegasnya.


Pengarang :