SELANGOR

Jawatankuasa Pilihan Raya Selangor Tunggu Laporan SISMEP 3.0

SHAH ALAM, 25 MEI: Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri Selangor sedang menunggu maklum balas daripada Unit Pengukuhan Demokrasi berhubung keberkesanan aplikasi Sistem Menang Pilihanraya (SISMEP) 3.0 yang diperkenalkan baru-baru ini.

Unit ini bertindak mengenalpasti daftar pengundi selain memberikan latihan dan pendidikan mengenai pilihan raya.

Program Pengukuhan Demokrasi yang pertama kali diperkenalkan di Selangor melalui Belanjawan Selangor 2012 dengan peruntukkan sebanyak RM5 juta bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat tentang hak demokrasi mereka.

Program seumpama itu turut dijalankan di negeri-negeri lain termasuk yang dikuasai Umno-BN seperti di Negeri Sembilan dan Melaka.

Terbaru aplikasi SISMEP 3.0 akan dilancarkan di Kedah dan Perlis.

Menurut Pengerusi Pilihan raya Selangor, Borhan Aman Shah, pihaknya akan menganalisa hasil maklumat yang bakal diberikan oleh beberapa pihak yang sedang menggunakan sistem ini dalam gerak kerja pilihan raya terutamanya melibatkan proses mengenal pasti daftar pemilih

Katanya, sistem ini sedang dipraktikkan di DUN Batang Kali dan Ketua Cabang PKR di beberapa kawasan Selangor  diberikan aplikasi SISMEP 3.0 pada minggu lalu.

“Sistem ini sudah diperkenalkan di lima negeri termasuk yang terbaru di Selangor. Kita telah berikan semua ketua cabang untuk muat turun sistem ini akan cuba pertingkatkan dari masa ke semasa.

“Saya tidak dapat maklum balas lagi dari jentera. Sekarang kita akan menggabungkan maklumat berhubung pengundi dari Unit Pendemokrasian Selangor. Kita berikan mereka tempoh masa untuk membuat analisa memandangkan kawasan DUN agak kecil berbanding Parlimen,” katanya

Jelas beliau sistem ini bukan hanya mencari pengundi hantu semata-mata tetapi membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengemaskini data dengan lebih baik.


Pengarang :