SELANGOR

Kerajaan Negeri Bantu Pembeli Rumah Kos Rendah Sg Siring Jumpa Bank


SHAH ALAM, 2 MEI : Para pembeli rumah kos rendah Sungai Sering, Hulu Kelang yang masih belum menerima sebarang pinjaman bank akan dibantu untuk membuat permohonan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor bersama MPAJ telah mendapat persetujuan beberapa buah bank bagi pembeli-pembeli tersebut membuat permohonan.

Sehubungan itu, pembeli rumah diminta hadir di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah pada 13 Mei depan antara pukul 10 pagi hingga 3 petang.

“Pembeli-pembeli yang telah ditolak permohonan mereka sebelum ini juga diminta hadir agar satu penyelesaian dapat dikenal pasti.

“Pembeli-pembeli yang telah menerima notis pembatalan tawaran membeli Rumah Kos Rendah dari pemaju juga perlu hadir,” katanya.

Beliau berkata, hari tersebut adalah tarikh akhir bagi mereka yang mempunyai masalah dengan bank atau sebarang masalah-masalah lain untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri dan pemaju.

“Mereka yang masih belum mendapat pinjaman bank dan tidak hadir pada hari tersebut berkemungkinan besar akan kehilangan hak membeli rumah di projek itu,” tegasnya.

ends


Pengarang :