NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Pusat Tidak Ada Dana, Kerajaan Selangor Yang Akhirnya Tolong

SUBANG JAYA,5 MEI : Kerajaan Selangor memperuntukkan lebih RM1.3 juta untuk membina jejantas jalan kaki di Pesiaran Kewajipan SS14 di sini setelah kerajaan pusat gagal melaksanakan projek tersebut dengan alasan ?ketiadaan dana?.

ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata walaupun Kerajaan Selangor mempunyai kekangan kewangan, namun ia dapat mencari dana bagi melaksanakan projek itu demi kesalamatan penduduk untuk melintas kawasan yang trafik tinggi.

Sebelum ini penduduk terpaksa bertarung nyawa dengan melintas jalan yang sibuk itu bagi mengunjungi dua tempat ibadat yang bersebelahan, iaitu sebuah kuil Hindu Sri Varatharaja Perumal dan Rumah Ibadat Persatuan Penganut Buddha Subang Jaya.

?Sebelum ini kita telah mengumpulkan lebih 1,600 jumlah tandatangan daripada pelawat penganut agama Buddha dan lebih daripada 1,000 daripada penganut Hindu. Kesemuanya dihantar kepada Perdana Menteri dan pihak Jabatan Kerja Raya.

“Melalui dua surat, pihak kerajaan pusat mengata mereka tidak mempunyai dana kewangan untuk membina jejantas pejalan kaki itu,” kata Hannah.

Projek ini dijangka akan siap pada 24 Disember tahun ini, jelas Hannah di hadapan kira-kira lebih 1,000 penganut agama Buddha di Subang Jaya yang turut meraikan Hari Wesak.

Hannah juga berkata, tapak letak kereta dan jalan perhubungan di sekitar kawasan dua kuil tersebut juga akan diperbaiki di masa akan datang.

Dalam ucapannya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penggunaan dana kewangan oleh kerajaan negeri semakin baik dan effektif dalam mengurangkan ketirisan dalam melaksanakan projek-projek pembangunan.

“Sekarang kita dapat melaksanakan dua buah projek di mana sebelum ini kita hanya dapat melaksanakan hanya satu projek dengan jumlah dana kewangan yang sama,” kata Abdul Khalid di Majlis Pecah Tanah Jejantas Pejalan Kaki di sini.

Tambah Abdul Khalid, kerajaan negeri mempunyai jumlah simpanan rizab tunai yang semakin meningkat dan lebihan daripada belanjawan negeri yang dijimatkan akan digunakan untuk pembangunan rakyat melalui program Geran SelangorKu.

“Kerajaan Selangor juga akan menyediakan 10,000 kaki persegi di Subang Jaya untuk pembinaan kuil bagi penganut Sikh yang telah menunggu hampir 10 tahun,” kata Abdul Khalid.

Projek jejantas ini akan menelan belanja RM1,352,213.15 yang akan dilaksanakan oleh kontraktor, Aminsa Bina Sdn Bhd, yang sudah memulakan kerja-kerja awal sejak 27 Disember 2011 lepas.

Sementara itu penduduk yang temui, Lai Chee Phang, 54,  berkata beliau gembira dan menyatakan terima kasih kepada kesungguhan kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak beberapa tahun lepas.

“Masalah untuk menyeberang bagi pejalan kaki sudah lama dan kawasan ini memang bahaya untuk melintas kerana banyak kenderaan lalu lalang, saya hari amat gembira dengan pelaksanaan projek ini,” katanya.

Menurut Ylow Ne, 20, berkata dengan pelaksaaan projek ini akan memudahkan penduduk kawasan ini melintas kerana sebelum ini pernah berlaku kemalangan.

“Ianya amat dinanti-nantikan penduduk di sini untuk mereka mudah melintas kerana jalan di sini terlalu sesak dan bahaya jika melintas,kami sangat gembira selepas menunggu sejak sekian lama,” katanya.

ends


Pengarang :