NASIONAL

Khalid Samad Saman Balas Hasan Ali

SHAH ALAM 4 MEI : Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad hari ini mengumumkan akan memfailkan saman balas terhadap Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Menurut Khalid, beliau kini dalam usaha memfailkan saman terhadap Dr. Hasan melalui peguamnya, Hanifa Maidin berhubung dakwaan menggelarnya parasit dalam PAS.

“Saya dalam proses ‘compiling’ bagi kes saman balik ini. Insya-Allah dalam masa dua minggu lagi peguam saya akan memfailkannya di mahkamah.

“Tindakan ini juga diambil ekoran saman yang dikemukakan terhadap saya oleh Dr. Hasan Ali,” jelas Khalid dalam sidang media di pejabatnya di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu menerima surat saman daripada Dr. Hasan pada 27 April lepas di pejabatnya.

“Saman itu berkenaan dengan kenyataan saya sebelum ini yang memohon penjelasan daripadanya mengenai siapa taja beliau yang mana pada waktu itu menjadi perbualan hangat.

“Pertanyaan itu sekadar ingin memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan dari mana sumber dia dapat untuk melakukan road tour dan juga perlancaran pertubuhan ‘Jati’ di SACC (Shah Alam Convention Centre).

“Kita maklum bahawa kesemua itu memerlukan perbelanjaan yang besar, jesteru itulah kita memohon penjelasan darinya, bukannya menuduhnya menerima tajaan dari mana-mana pihak,” ujar Khalid sambil menambah jumlah saman tidak dinyatakan sebaliknya akan ditentukan oleh mahkamah.

Dr. Hasan dipecat dari PAS awal tahun ini kerana dilihat sering mengeluarkan pandangan yang bertentangan dan merugikan PAS. Beliau kemudian digugurkan dari jawatan Exco Negeri Selangor sebelum bertindak menubuhkan Jati yang didakwanya untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-raja.


Pengarang :