Lagi Umno Tanjong Karang Jual Lima Bidang Tanah Anugerah Kerajaan Negeri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Lagi Umno Tanjong Karang Jual Lima Bidang Tanah Anugerah Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 10 MEI: Umno Tanjong Karang didakwa menjual lima lagi bidang tanah di Tanjong Karang yang telah dianugerahkan kepadanya oleh Kerajaan Selangor Umno-BN yang dulu.

Pendedahan terbaru ini sekaligus menjadikan sebanyak tujuh bidang tanah yang telah dianugerahkan kepada Umno Tanjong Karang oleh kerajaan negeri Umno-BN terdahulu.


Tanah-tanah ini kemudiannya dijual kembali bagi membolehkan parti itu memperolehi keuntungan mudah.

Demikian beritahu Naib Yang DiPertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman kepada TVS hari ini.

Menurut Misran, tanah tersebut sebelum ini merupakan kawasan hutan simpan pemampan hakisan pantai yang terdiri dari hutan paya bakau. 

“Lima bidang tanah yang saya sebutkan ini sebenarnya hutan simpan paya bakau iaitu kawasan pemampan hakisan pantai.

“Malangnya, kerajaan negeri dahulu dah anugerahkan tanah-tanah ini kepada Umno Tanjong Karang.

“Pindah milik bagi lot nombor 25862 dibuat pada 1996 dan empat lagi bernombor lot 26429, 26431, 26430 dan 26428 pula dipindah milik pada 2001.

“Semakan saya di Pejabat Tanah Dan Galian mendapati Nombor hak milik tanah-tanah ini adalah PN 11222, PN 80339, PN80345, PN 80346 dan PN 80348.

“Lepas itu Umno Tanjong Karang jualkan kepada syarikat-syarikat dengan harga yang tidak diketahui sekaligus sekali lagi jadi jalan mudah Umno Tanjong Karang buat duit,” beritahu Misran.

Dari hasil carian yang diperolehi di Pejabat Tanah dan Galian Shah Alam dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mendapati tanah bernombor lot 25862 dengan keluasan 28.3 hektar telah dijual kepada Prestige Sdn Bhd.

Manakala Lot 26429 dengan keluasan 12.5 hektar pula telah dijual kepada Camaroe Aquaculture Sdn Bhd.

Natural Adept Sdn Bhd pula membeli dua bidang tanah bernombor lot 26431 dan 26430 dengan keluasan masing-masing 4.048 dan 4.049 hektar.

QQ Sea Food Sdn Bhd turut membeli sebidang tanah bernombor lot 26428 dengan keluasan 4.038 hektar.

Menurut Misran, pada masa ini syarikat-syarikat terbabit terlibat menjalankan penternakan udang di atas tanah-tanah yang dibelinya itu.

Misran turut mempersoalkan dakwaan Umno sebelum ini yang mengaku kononnya mempertahankan hak dan kedudukan orang-orang Melayu.

“Umno kata mereka pertahankan hak Melayu, tapi dalam kes ini kita dapat lihat kebolehan Umno menjual tanah yang diberi kerajaan negeri kepada bukan Melayu.

“Sudahlah tanah itu dianugerahkan oleh kerajaan negeri,lepas itu senang-senang mereka jualkan untuk dapat untung atas angin, tindakan mereka langsung tak menguntungkan orang Melayu,” kata beliau lagi.

Misran juga memberitahu, perkara ini akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam masa terdekat.

Dalam pendedahan sebelum ini, dua bidang tanah di Pekan Tanjong Karang dan Jalan Sungai Kajang yang diberi milik kepada Umno Tanjong Karang turut dijual parti politik terbabit kepada syarikat swasta.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION