MB: Selangor Pertimbang Beberapa Tuntutan Golongan Pekerja | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

MB: Selangor Pertimbang Beberapa Tuntutan Golongan Pekerja

SHAH ALAM 31 MEI : Beberapa tuntutan utama pekerja di negeri Selangor seperti gaji minimum, pusat jagaan kanak-kanak di tempat bekerja dan 40 jam bekerja seminggu akan dipertimbangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata demikian sebagai respon kepada Pengerusi Penggerak Konvensyen Himpunan Pekerja Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud yang memanjangkan perkara ini semasa Konvensyen Himpunan Pekerja Selangor di Dewan Belia, Seksyen 7, di sini.


Katanya, tuntutan perlaksanaan gaji minimum di peringkat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sememangnya dalam perlaksanaan oleh Kerajaan Negeri.

Manakala tuntutan mengadakan tempat asuhan kanak-kanak di kawasan seperti perindustrian boleh dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Cuma sekiranya berkenaan undang-undang sahaja kita tidak dapat melaksanakannya kerana ia di peringkat Kerajaan Pusat,” katanya.

Selain itu, Syed Shahir yang juga mantan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan menyediakan kemudahan asas seperti tempat berniaga secara kecil-kecilan sekiranya berlaku pemberhentian pekerja secara beramai-ramai.

Dalam respon awalnya, Menteri Besar berkata tuntutan itu boleh dipertimbangkan dan akan dilaksanakan sebagai usaha memperjuangkan kebajikan pekerja di negeri terbabit.

“Setakat ini dalam penelitian saya, ia tiada masalah untuk dilaksanakannya kerana pekerja merupakan pemangkin kepada pembangunan negeri.

“Kita mahu menjaga kebajikan mereka dan tidak meletakkan jurang pendapatan yang tinggi antara majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata hal itu juga penting kerana negeri Selangor merupakan negeri yang tertinggi dalam menyumbangkan ekonomi pendapatan negara iaitu sebanyak 23 peratus tahun lalu.

Kira-kira 1,000 peserta daripada 30 buah persatuan terlibat dalam konvensyen itu yang terdiri daripada pemimpin Kesatuan Sekerja dari pelbagai sektor pekerjaan dan industri di negeri ini.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION