NASIONAL SELANGOR

MB Selangor Sokong Azmin Saman Utusan RM100 Juta

SUBANG JAYA, 5 MEI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyokong usaha Azmin Ali dalam tindakan Timbalan Presiden PKR itu untuk menyaman Utusan Malaysia berhubung laporan yang mengfitnahkannya pada 2 Mei lepas.

“Saya setuju dengan tindakan saudara Azmin,” jawab Abdul Khalid dalam sidang media ketika diajukan soalan oleh pemberita selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Jejantas Pejalan Kaki di sini.

Sebelum ini, Azmin melalui peguamcaranya Tetuan Edwin Lim Suren & Soh telah mengeluarkan surat tuntutan RM100 juta kepada pemilik akhbar tersebut, Utusan Melayu Berhad serta editornya dan menuntut penarikan balik tuduhan dan permohonan maaf secara terbuka.

Akhbar milik Umno-BN itu telah menyiarkan beberapa gambar pada muka depannya pada 2 Mei dalam usaha memfitnah Azmin.

PKR Selangor juga sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Azmin dan menolak fitnah jahat yang dilemparkan Umno-BN.

Sokongan itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama antara Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Selangor, Zuraida Kamaruddin.

 


Pengarang :