Selangorkini
NASIONAL

Muzakarah Dengan Umno: PAS Nafi Bercanggah Pendapat

 

SHAH ALAM 14 MEI : Pimpinan PAS hari ini menafikan dakwaan bahawa berlakunya percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berhubung isu bermuzakarah dengan Umno-BN.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata secara dasarnya, PAS sanggup bermuzakarah, berbincang, berdebat dan berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Khalid yakin bahawa Umno-BN tidak akan bersetuju berhubung perkara tersebut malah tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.

“Kita tahu Umno-BN memang tidak ikhlas walaupun mereka melakukan perkara yang salah tetapi tetap mahu mempertahankannya. Maka, Datuk Mahfuz itu bercakap berlandaskan pengalamannya dan PAS sendiri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Perkara sama turut dipersetujui Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyangkal dakwaan wujudnya percanggahan kenyataan sesama pimpinan PAS berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, muzakarah yang dimaksudkan Presiden PAS itu adalah bagi memberi penjelasan sebenar terhadap isu-isu negatif yang dibangkitkan media arus perdana dan kerajaan Umno-BN terhadap parti itu.

“Isunya bukan muzakarah PAS bergabung dengan Umno-BN, tetapi muzakarah kepada isu yang berbangkit antaranya PAS membuat kenyataan bercanggah dengan Majlis Fatwa, tuduhan kafir terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz dan beberapa isu negatif yang cuba menjatuhkan kredibiliti PAS,” ujarnya.

PAS dalam satu sidang media di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur semalam mengumumkan sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN bagi menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan mengatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya.

Namun, kenyataan yang dimaklumkan Abdul Hadi itu kemudiannya disanggah Mahfuz yang mencelah ‘kecuali Umno’.


Pengarang :