Selangorkini
NASIONAL

NUJ: Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Serangan Ke Atas Wartawan

SHAH ALAM, 2 MEI : Kerajaan Pusat digesa menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat insiden atau kes serangan yang melibatkan anggota polis terhadap wartawan dalam perhimpunan BERSIH 3.0, tegas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Chin Sung Chew.

“Kami mengesyorkan bahawa Jawatankuasa Bebas tersebut harus diketuai oleh sekurang-kurang tiga ahli iaitu seorang hakim yang bersara, bekas Presiden Majlis Peguam dan ahli akademik yang pakar dalam kewartawanan dan undang-undang kewartawanan,” kata Chin dalam kenyataan media.

Menurut Chin, Jawatankuasa Bebas harus mengambil alih siasatan kerana polis yang dituduh melakukan keganasan terhadap anggota media.

Wartawan, termasuk dari media asing, dipukul semasa bertugas dan ini merupakan satu tuduhan yang serius.  Ianya jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi serta  bertentangan dengan hak wartawan untuk melakukan tugas dalam suasana dan persekitaraan aman.

“Biarlah Jawatankuasa tersebut memanggil anggota polis yang terlibat dan para wartawan dan jurugambar untuk memberi keterangan supaya orang ramai akhirnya mengetahui apa yang berlaku semasa perhimpunan BERSIH 3.0,” katanya.

Tambah Chin, NUJ juga mengesyorkan semua syarikat-syarikat media agar menyumbang dalam bentuk kewangan untuk Jawatankuasa Bebas ini menjalankan tugas mereka.

“Cadangan NUJ diharap mendapat sokongan dari semua golongan yang mahukan satu siasatan dan keputusan yang telus.

“Kami berharap agar hasil daripada laporan siasatan ini dapat dijadikan satu panduan kepada sebarang insiden yang tidak diingini pada masa akan datang,” ujarnya.


Pengarang :