NASIONAL SELANGOR

Nurul Izzah Buat Laporan Polis Terhadap Ganguan Depan Rumah Ambiga

SHAH ALAM, 24 MEI: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semalam telah membuat satu laporan Polis terhadap kumpulan yang mendirikan gerai-gerai perniagaan secara haram di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Menurut Nurul Izzah, tindakan kumpulan tersebut mendirikan gerai perniagaan bukan sahaja menimbulkan gangguan terhadap Ambiga dan jiran-jirannya malah turut melakukan gangguan seksual terhadap mereka.

“Bukan mendirikan gerai-gerai sahaja, tetapi juga poster berbaur lucah melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ambiga, yang tak boleh diterima langsung.

“Cara mereka tidak menunjukan akhlak yang begitu baik. Kita menghormati hak asasi rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan tetapi perlulah menghormati ‘privacy’ dan undang-undang tidak boleh hanya dikuatkuasakan kepada kumpulan yang anti kerajaan,” ujar Nurul Izzah kepada TVS hari ini.

Menurut laporan polis yang dibuat di Balai Polis Damansara itu, kumpulan tersebut turut mengeluarkan kenyataan yang berbaur amaran terhadap Ambiga, Anwar dan BERSIH 3.0.

Menurut laporan itu juga, pertubuhan pro-Umno, Pekida (Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia) dan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) juga bercadang untuk hadir esok untuk membuat kekacauan.

Nurul Izzah turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak berkuasa yang melakukan pendakwaan terpilih.

“Saya kecewa kerana pada masa yang sama mereka mendakwa Anwar, Azmin Ali dan Chegu Bard serta Ambiga yang baru disaman oleh kerajaan Malaysia.

?Tetapi membiarkan pelaku-pelaku yang membuat gangguan terhadap Ambiga walau telah dijelaskan ada peruntukan undang-undang untuk memaksa pihak berkuasa ambil tindakan terhadap mereka.

“DBKL bertanggungjawab mengguna duit cukai negara untuk memadam semula kerja-kerja vandalisma yang mereka buat atas jalan raya, tetapi kenapa vandalisma yang mereka buat itu tidak didakwa.

“Bayangkan semasa BERSIH 3.0, DBKL telah mengguna undang-undang kecil dan polis diarah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang kemasukan peserta BERSIH 3.0 ke Dataran Merdeka yang merupakan tempat awam yang tiada sesiapa yang tingga di situ.

“Saya bukan bercakap tentang pegawai bawahan. Saya cakap tentang Timbalan Ketua Polis Negara, saya bercakap tentang Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar, macam tiada peruntukan undang-undang yang boleh menghentikan perbuatan mereka itu,” ujar beliau lagi.

Turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat itu, kumpulan terlibat telah  melanggar beberapa akta termasuk Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Kanun Keseksaan.

Selain itu, kumpulan tersebut turut menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Disamping menghormati hak asasi rakyat, Nurul Izzah berkata pihak terlibat juga harus menghormati kenteraman pihak lain khususnya apabila melibatkan kawasan peribadi atau kediaman seseorang.

“Saya tidak tolak kalau hendak berdemo dan sebagainya, tetapi yang saya hendak persoalkan ialah bila mencerobohi kawasan ‘privacy’ yang bukan tempat umum berhampiran perkarangan rumah orang, kalau depan rumah menteri kabinet pun saya tak bersetuju,” beritahu beliau.

Menurut Nurul Izzah lagi selain beliau, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng turut membuat laporan polis berhubung isu sama terhadap kumpulan yang mendakwa kononnya mewakili para peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.


Pengarang :