NASIONAL SELANGOR

Pakatan Mendahului Umno-BN Dalam Menjaga Kebajikan dan Hak Pekerja

SHAH ALAM, 14 MEI : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah pimpinan pertama yang mengamalkan dasar kebajikan pekerja yang lebih progresif, bukan Umno-BN.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata kebajikan terhadap pekerja bermula se-awal tahun 1990-an lagi di negeri Kelantan yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain.

Perubahan itu termasuk pemberian cuti rehat sebanyak dua hari setiap minggu kepada pekerja, cuti bersalin 60 hari kepada pekerja wanita dan cuti tujuh hari kepada suami yang isterinya melahirkan anak.
Malah dasar-dasar seperti ini pernah dikecam kuat oleh Umno-BN di bawah Perdana Menteri ke-empat Tun Dr Mahathir Mohamed pada masa ia perkenalkan.

“Umno-BN sebelum ini ada mendakwa bahawa cuti rehat dua hari yang diberikan kepada pekerja akan menyebabkan produktiviti menjadi rendah dan rakyat akan malas.

“Tetapi akhirnya mereka meniru kita dan terpaksa memberi cuti rehat selama dua hari kepada pekerja sebab kita dah laksanakan dulu.
?Tidak terkecuali, negeri Selangor juga turut memberi cuti 90 hari kepada wanita bersalin. Itu adalah bukti betapa kerajaan PR begitu prihatin terhadap hak pekerja,” ujarnya.

Mat Sabu berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Majlis Himpunan ?Pekerja : Menjulang Martabat Pekerja? di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Himpunan yang disertai lebih 3,000 orang itu turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan pimpinan kerajaan Selangor.

Turut kelihatan exco-exco Selangor Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Ronnie Liu Tian Khiew dan Dr Yaakop Sapari. Juga hadir MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADUN Meru Dr Rani Othman.

Pakatan di dalam dasar bersamanya pada 2010 telah berjanji untuk melaksanakan gaji minima di dalam semua sektor di negara, lebih awal dari dasar Umno-BN yang baru diumumkan beberapa minggu lalu.

Malah Kerajaan Selangor menetapkan kadar gaji minima pada RM1,500 sebulan untuk setiap anak syarikat di bawahnya.
Kadar itu adalah lebih tinggi daripada RM900 yang diumumkan oleh Umno-BN.

ends


Pengarang :