NASIONAL SELANGOR

PDRM dan Media UMNO-BN Berat Sebelah Berkaitan Peserta BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 5 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media pro Umno-BN menunjukkan sikap berat sebelah dengan hanya menyiarkan gambar-gambar peserta BERSIH 3.0 yang disyaki menimbulkan kekacauan pada himpunan itu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah, pihak polis cuba menyembunyikan kekerasan yang dilakukan mereka terhadap orang awam serta petugas media pada himpunan itu.

“Jika PDRM adil, kenapa mereka tidak siarkan gambar-gambar anggota polis yang terbukti menggunakan kekerasan pada himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu?,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Akhbar-akhbar milik Umno-BN hari ini menyiarkan 42 gambar orang awam yang disyaki mencetuskan keadaan huru-hara serta mengkasari anggota polis yang ditugaskan mengawal himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu.

Perhimpunan menyaksikan sekitar 250,000 orang berhimpun sekitar kawasan Dataran Merdeka bagi menuntut agar kerajaan pusat memperbaiki kelemahan sistem pilihanraya.

Di dalam blog-blog serta klip pendek di youtube jelas memaparkan tindakan ganas polis memukul peserta himpunan yang juga dihadiri oleh warga tua serta kaum wanita dan ini bercanggah dengan konsep negara demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Pihak polis juga mengambil bukti daripada paparan di youtube dan kenapa pihak polis yang memukul peserta himpunan tidak dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya lagi.

Maria menambah, polis juga membuka tanda nama mereka ketika menangkap dan menyuraikan peserta himpunan itu dengan kekarasan. Ini membuktikan PDRM tidak telus dalam menjalankan tugas serta takut dibawa ke muka pengadilan.

“Polis memakai tanda nama sewaktu perhimpunan berlangsung dan mengapa tanda nama mereka dibuka sewaktu mereka melakukan kekerasan dan tangkapan?,” soalnya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan ahli Panel Penasihat Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat perhimpunan BERSIH 3.0 mestilah dijalankan secara adil demi mencari keadilan dan pembelaan terhadap pelbagai insiden yang terjadi.

“Sewaktu BERSIH 2.0 ditubuhkan panel bebas namun tiada keputusan berjaya dicapai walaupun terbukti berlaku insiden kasar dan provokasi waktu itu,” jelasnya.

Dalam isu yang berkaitan, Maria berkata sehingga kini Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) masih berdiam diri berkaitan lapan tuntutan yang dibawa BERSIH 3.0 untuk penambahbaikan sistem pilihanraya.


Pengarang :