SELANGOR

Pemindahan Terminal, Pendapatan Pemandu Teksi Merosot

KUALA LANGAT 24 MEI – Majlis Daerah Kuala Langat (MDL) akan menyelesaikan masalah pengusaha teksi di Terminal Teksi Kuala Langat yang mengalami masalah kemerosotan pendapatan berpunca daripada pemindahan terminal sejak lima tahun lalu.

Sebelum ini Terminal Teksi berada di hadapan terminal bas sebelum dipindahkan ke terminal baru.

Walau bagaimanapun kedudukannya dilihat tidak strategik kerana agak terlindung menyebabkan penumpang tidak mengetahui wujudnya terminal baru itu, seterusnya bertindak untuk mengambil kereta sapu yang menunggu di hadapan perhentian bas terbabit.

Ini menyebabkan pendapatan mereka mula mengalami kemerosotan kerana jarak terminal berkenaan dengan perhentian bas sejauh kira-kira 200 meter.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata, pihak MDKL akan menyelesaikan masalah tersebut secara berperingkat.

Tambah beliau, pihaknya kini dalam perbincangan dengan pemaju tanah bersebelahan perhentian bas itu bagi membuat laluan khas untuk menyambungkan ke terminal teksi terbabit.

“Memang ada pembangunan menanti di situ, bagaimanapun MDKL masih menunggu peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Kita tahu pengusaha 100 peratus menyalahkan MDKL berhubung masalah ini, walau bagaimanapun MDKL tidak sesekali meminggirkan pengusaha teksi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MDKL.

Bagaimanapun Hafiz menambah, pihak MDKL tidak mempunyai kuasa bagi mengatasi masalah kereta sapu yang bertindak ‘mencuri’ penumpang teksi.

“Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepatutnya mengambil tindakan kepada mereka,” katanya.


Pengarang :