Peneroka Felda Berhak Terima RM50,000 Satu Keluarga, Bukan RM15,000 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Peneroka Felda Berhak Terima RM50,000 Satu Keluarga, Bukan RM15,000

SHAH ALAM, 9 MEI : PKR hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengagihkan kesemua dana yang dikutip Felda sebanyak RM50,000 kepada peneroka dan bukannya RM15,000 seperti yang diumumkan.

Menyifatkan ganjaran itu ibarat ‘hampas’ dan imbuhan kecil sahaja, Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menegaskan kerajaan Umno-BN sekali lagi berpura-pura mendahulukan rakyat sedangkan suku sakatnya mengaut keuntungan besar dengan menggunakan nama rakyat.

Rafizi memaklumkan, pihaknya sudah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) bagi menentukan nilai sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi peneroka Felda.


Beliau berkata, berdasarkan prospektus penyenaraian, dana yang akan dikutip Felda selepas penyenaraian adalah berjumlah RM5.6 bilion.

Sementara FGVH pula akan mendapat suntikan dana tambahan sebanyak RM4.557 bilion.

Menurutnya, proses ini melibatkan perbincangan bersama penganalisa pasaran untuk menentukan prestasi FGVH dan harga setiap unit saham apabila disenaraikan kelak.

“Berikutan urusniaga tersebut, Felda akan menjual 59 peratus dari pegangan sedia ada di dalam FGVH (bersamaan 1,208,890,900 saham) kepada pelabur-pelabur baru sementara FGVH pula akan menerbitkan saham baru berjumlah 980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur baru.

Selain itu, harga penyenaraian setiap unit saham adalah RM4.65, dana tambahan yang dikutip oleh Felda adalah RM4.65 x 1,208,890,900 bersamaan RM5.6 bilion manakala dana tambahan yang dikutip FGVH adalah RM4.65 x 980,000,000 bersamaan RM4.557 bilion,” katanya.

Jelasnya, 112,635 buah keluarga Felda seluruh negara berhak mendapat keuntungan dari proses penyenaraian ini berikutan tanah seluas 840,603 ekar yang diusahakan Felda Plantatians Sdn Bhd adalah milik mereka.

Sehubungan itu, PKR berpendapat Najib perlu berterus terang kepada rakyat bahawa hanya 30 peratus daripada dana yang dikutip diagihkan kepada peneroka, manakala selebihnya (RM3.942 bilion) akan digunakan untuk pentadbiran beliau.

Najib dicabar wajib mengagihkan kesemua dana yang dikutip oleh Felda kepada peneroka iaitu bersamaan RM50,000 setiap keluarga, bukannya RM15,000 seperti yang diumumkan.

Kerajaan Umno-BN juga mestilah memperincikan bagaimanakah baki RM3.942 bilion akan dibelanjakan supaya ada ketelusan dan amanah,” tegasnya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION