NASIONAL SELANGOR

Pengamal Media Mahu Polis Kembalikan Rakaman Video dan Gambar

BANGSAR, 3 MEI: Pengamal media berkumpul di hadapan pejabat Malaysiakini hari sebagai tanda solidariti meluahkan bantahan diatas kekerasan luar jangkaan yang ditunjukkan pihak polis terhadap beberapa wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0  yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Himpunan aman ini mengemukakan tiga tuntutan terutama menggesa pihak polis mengembalikan bahan akhbar seperti gambar dan semua footages yang disita tanpa sebarang perubahan kepada wartawan berkenaan atau organisasi serta membayar ganti rugi sebarang kecederaan dan kerosakkan.

Selain itu juga di tuntut semua pesalah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan selepas penubuhan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 serta diharapkan tindakan tersebut tidak berulang dimasa depan.

Kekasaran yang berlaku pada himpunan berkenaan menyaksikan pelbagai peralatan dan footage media dirampas dan dimusnahkan selain mengakibatkan kecederaan beberapa petugas yang membuat liputan.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata, himpunan wartawan pada hari ini diatas dasar keyakinan serta kepercayaan pengamal media dalam kebebasan akhbar di negara ini dan seharusnya semua pihak menghormati hak wartawan terutama ketika mereka sedang menjalankan tugas.

“Hari ini juga merupakan hari yang hitam untuk kebebasan akhbar di Malaysia kerana serangan terhadap wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu, tidaknpernah dilakukan sebelum ini.

“Ramai wartawan, jurukamera dan jurugambar diserang, ditahan dan ditakut-takutkan oleh pihak polis, sesetengah penunjuk perasaan juga menyerang wartawan. Kita perlu menghentikan piawai kebebasan akhbar di Malaysia daripada jatuh ke paras yang lebih rendah,” katanya.

Himpunan aman tersebut menyaksikan kehadiran hampir 50 orang pengamal media daripada pelbagai agensi tempatan bersempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diikhtiraf oleh Unesco dan disambut serentak oleh pengamal media seluruh dunia.

Dengan tema berbaju hitam dan riben kuning disusuli laungan ‘Hidup Wartawan’ dan ‘Free Media’ bergema sebagai tanda semangat menuntut hak pengamal media.

Pengguna jalan raya turut memberikan sokongan dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing.


Pengarang :