Selangorkini
NASIONAL

Penganalis Politik : Pilihanraya Berasingan Beri Kelebihan Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memperolehi kelebihan sekiranya ia mengadakan pilihanraya bagi peringkat negeri secara berasingan daripada pilihanraya parlimen peringkat pusat.

Penganalisis politik Merdeka Center, Ibrahim Sufian berkata terdapat tiga faktor utama yang akan memberi kelebihan kepada Kerajaan Selangor sekirannya ini berlaku.

“Memang beri kelebihan kepada Kerajaan PR Selangor kerana terdapat beberapa kontroversi berhubung daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya.

“Jadi sekiranya pilihan raya negeri tak dijalankan selari dengan peringkat parlimen, kelemahan-kelemahan ini akan timbul semasa pilihan raya umum berlangsung.

“Ia akan beri kesempatan kepada kerajaan negeri untuk mengenalpasti kelemahan perjalanan pilihan raya dan ada ruang untuk diperbaiki,” kata Ibrahim.

Menurut Ibrahim lagi, pilihan raya berasingan akan membolehkan pemimpin di peringkat negeri membantu rakan mereka di peringkat pusat.

“Walaupun pilihan raya negeri akan menyebabkan pemimpin Umno-BN lain bertumpu di Selangor, tetapi situasinya seimbang kerana pemimpin Pakatan dari negeri lain turut turun melakukan perkara yang sama.

Ketiga, kata Ibrahim, kerajaan negeri dapat meneruskan program seperti biasa walaupun kakitangan kerajaan pusat terlibat dengan pilihanraya.

“Di Selangor, dasar dan program kerajaan negeri masih dapat diteruskan seperti biasa.

“Menyalurkan peruntukan di Selangor oleh kerajaan negeri pun tak boleh dituduh sebagai pancing undi sebab mereka sedang menyalurkan pelbagai peruntukan daripada belanjawan 2012, geran Selangorku dan lain-lain,” ujar Ibrahim lagi.
Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan membubarkan Dewan Selangor selepas daftar pemilih dibersihkan daripada pemilih yang statusnya meragukan.

Mengikut anggaran Abdul Khalid, usaha menjejaki pemilih di Selangor menerusi program ?Selangorku Bersih? hanya akan selesai pada akhir bulan Julai.

Abdul Khalid juga berkata, Kerajaan Selangor mahu memastikan bahawa dana di dalam belanjawan negeri 2012 dan Geran Selangorku habis diagihkan sebelum pilihanraya negeri diadakan.


Pengarang :