Pertandingan Fotografi Cungkil Bakat Penduduk Kampung Baru | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Pertandingan Fotografi Cungkil Bakat Penduduk Kampung Baru

SHAH ALAM, 10 MEI : Pertandingan fotografi anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru berjaya mencungkil bakat peserta dalam bidang itu khususnya di kalangan penduduk kampung baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program seumpama itu bukan sahaja berupaya menambah ilmu pengetahuan, bahkan turut meningkatkan kemajuan serta taraf hidup penduduk luar bandar.


Abdul Khalid turut menyifatkan pertandingan itu sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengekalkan ingatan serta memori terhadap kampung baru.

“Secara tidak langsung ia dapat mempromosi keunikan serta kepelbagaian budaya di kampung-kampung baru (bagan atau tersusun) di negeri Selangor kepada rakyat bukan Cina serta pelancong dari dalam atau luar negara.

“Syabas saya ucapkan kepada semua peserta pertandingan fotografi pada musim ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pertandingan itu juga dapat membuka peluang kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira usia untuk lebih mengenali kampung halaman mereka.

Tambahnya, menerusi program ini, kenangan di kampung dapat diabadikan dalam bentuk fotografi untuk tatapan generasi sekarang dan generasi berikutnya.

“Pada tahun 2011, kerajaan negeri sudah melancarkan laman web rasmi Kampung Baru Cina di negeri Selangor. Saya berharap gambar-gambar hasil pertandingan fotografi ini dapat dimuat naik ke laman web itu untuk tatapan umum,” katanya.

Abdul Khalid berkata, demikian semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi di Bangunan SUK hari ini.

Pertandingan julung kali yang berlangsung selama dua bulan itu turut mendapat kerjasama daripada Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Pertandingan itu diselenggarakan di tiga buah kampung terpilih di negeri ini dan seramai 13 peserta dipilih sebagai pemenang.

Hadir sama, Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, Rodziah Ismail, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong.

Sementara itu, salah seorang peserta, Nguan Wee Yong, 50, melahirkan kegembiraan apabila dipilih menjadi antara pemenang bagi kategori fotografi cemerlang.

Wee Yong yang menggunakan tema makanan tradisi Cina dalam fotografinya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 beserta sijil penghargaan.

“Fotografi merupakan minat saya sejak muda lagi. Selain daripada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, saya turut meluangkan masa menjadi jurukamera bebas.

Saya berharap kerajaan negeri dapat menganjurkan pertandingan seperti ini lagi di masa-masa akan datang supaya lebih banyak bakat dapat dicungkil,” katanya.

Tidak ketinggalan, Lew Chee Leong, 40, turut berkongsi kegembiraan sama apabila dipilih sebagai finalis dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM200 beserta sijil.

“Walaupun tidak dipilih sebagai pemenang, tetapi saya tetap gembira apabila disenaraikan sebagai finalis. Saya pasti akan menyertainya di masa akan datang sekiranya kerajaan negeri menganjurkannya lagi,” ujarnya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION