NASIONAL

PKR Kecam Serangan ‘Malam Berdarah Lembah Pantai’

SHAH ALAM 26 MEI : PKR menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno kerana mengganggu program Ceramah Perdana PKR Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai pada 24 Mei lepas.

Dalam kenyataan media bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan provokasi samseng Umno yang membaling batu bata, telur dan botol air mineral mengakibatkan dua orang yang menghadiri ceramah PKR mengalami kecederaan.

“Beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung dan tayar kereta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan media itu.

PKR menggesa supaya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menyiasat bagaimana kuarters tersebut dibenarkan untuk diguna pakai pihak Umno.

PKR melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam itu tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

“PKR menggesa pihak Polis untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” jelas kenyataan media itu.


Pengarang :