NASIONAL

PKR Mahu Kerajaan Telus Tangani MAFTA

 

SHAH ALAM 21 MEI : Sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) esok, PKR menuntut Kerajaan Pusat bertindak secara integriti dan telus demi kepentingan rakyat dalam memeterai perjanjian berkenaan.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, PKR menyokong mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas asalkan ianya dilakukan berdasarkan prinsip yang adil dan tidak merugikan.

“PKR menyokong mana-mana FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) andai semua pihak yang berkepentingan terlibat dalam proses selain perlunya laporan kajian dan ratifikasi oleh sidang Parlimen.

“Semua FTA juga haruslah berlandaskan perdagangan adil tanpa menjejaskan sfera sosio-ekonomi, alam sekitar, domain budaya, hak asasi buruh , keselamatan awam dan keselamatan negara,” jelas Nurul dalam kenyataan akhbarnya.

Dalam nada sama, PKR juga mendesak agar isu berhubung projek LYNAS dijalankan secara telus tanpa mengenepikan kepentingan awam.

“MAFTA yang diselubungi rahsia dan kurangnya ketelusan serta pendedahan penuh pasti akan menarik lebih perhatian ke atas kontroversi Lynas.

“Projek Lynas di Gebeng, Pahang, dijadualkan memulakan operasi pada suku ke-2 2012, dijangka akan mengimport bahan mentah bumi dari Barat Australia untuk diproses di fasiliti penapisan di sini.

“Oleh itu, PKR menuntut jawapan muktamad kepada soalan sama ada Australia, di bawah MAFTA, akan menerima eksport sisa dan produk hasil bahan-bahan bumi diproses dari Gebeng yang boleh dinamakan sebagai ‘produk perdagangan’,” jelas Nurul yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Di samping itu, PKR juga menuntut agar Parlimen Malaysia dapat memainkan peranan kali ini dalam meneliti serta mengesahkan semua keputusan dan pindaan bagi mengelak kesilapan lalu daripada terus berulang.

“Sejarah telah membuktikan kita kehilangan kepentingan dan kedaulatan negara dalam pelbagai kes.

“Antaranya kes Pulau Batu Putih (dengan Singapura), Blok L dan M (dengan Brunei), Perjanjian Air (dengan Singapura) dan Tanjong Pagar KTM (dengan Singapura),” tegas Nurul lagi.


Pengarang :