NASIONAL SELANGOR

PKR Selangor Sokong Penuh Pimpinan Azmin

SHAH ALAM 3 MEI : PKR Selangor hari ini sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali dan menolak fitnah jahat Umno/BN.

Sokongan itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama antara Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Selangor, Zuraida Kamaruddin.

“Setelah fitnah jahat dilempar tanpa pertimbangan akal budi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini taktik yang sama digunakan pula kepada Azmin Ali.

“Kami melihat ini dengan jelas adalah satu percubaan terdesak Umno/BN untuk mengalih perhatian dari krisis hilang kepercayaan rakyat kepada mereka yang semakin ketara sejak himpunan ratusan ribu rakyat di Bersih 3.0,” tegas kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, PKR Selangor yakin siri fitnah terbaru ini merupakan peluru terakhir fitnah Umno/BN terhadap kepimpinan tertinggi PKR sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.

“Sepatutnya baki masa yang mereka ada digunakan untuk berdepan secara ìgentlemenî dengan pimpinan Pakatan Rakyat bagi membahaskan isu-isu pokok dan polisi-polisi yang mampu memberikan kesenangan kepada rakyat.

“Namun telah menjadi barah dalam diri mereka sejak sekian lama, taktik kotor dengan menabur fitnah jahat yang digunakan dan mereka ternyata silap kerana rakyat sekarang sudah semakin bijak menilai dan dapat membezakan baik dan buruk,” jelas Keadilan dalam kenyataan medianya.

Keadilan juga memberi amaran kepada Umno/BN untuk menghentikan segala taktik kotor kerana rakyat telah muak dan benci dengan budaya fitnah mereka.

“Sedarlah! Mainan politik kotor begini hanya akan merosak nilai budaya bangsa Melayu dan pastinya bukan fitnah jahat ini yang ingin kita wariskan kepada anak cucu kita.

“Mereka boleh gunakan jutaan wang ringgit dan teknologi canggih untuk menjayakan fitnah jahat ini namun PKR Selangor akan terus mendokong perjuangan ‘Demi Rakyat’ agar segala janji dikota dan segala pelaksanaan program untuk rakyat Selangor akan terus dilaksanakan,” kata kenyataan itu lagi.


Pengarang :