NASIONAL

PR Ikrar Selesai Masalah Kewarganegaraan Sebaik Tubuh Kerajaan Pusat

SHAH ALAM 12 MEI : Masalah sebilangan rakyat negara ini yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri akan diselesaikan sebaik Pakatan Rakyat menubuhkan Kerajaan Pusat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat ratusan ribu masyarakat India, Dayak dan lain-lain yang lahir di Malaysia hidup tanpa dokumentasi pengenalan diri yang sah kerana prosedur kerajaan itu sendiri yang menggagalkan mereka.

“Isu ini akan menjadi keutamaan Pakatan Rakyat dan kami akan berusaha sesegera mungkin dalam menyelesaikan permasalahan ini.

“Tanpa dokumen tersebut, mereka dinafikan hak untuk bersekolah, bekerja, mendapat perkhidmatan kesihatan, keselamatan, bantuan kerajaan dan juga hak mengundi,” tegas Anwar dalam kenyataan medianya.

Menurut Anwar yang juga Ketua Umum PKR ,kebanyakan dari mereka adalah daripada latarbelakang yang sangat miskin dari segi ekonomi.

Jumlahnya sangat besar dalam komuniti India dan sebilangan kecil dalam masyarakat Dayak; pelbagai janji telah ditabur oleh BN dan pemimpin-pemimpin mereka, namun ternyata ianya hanya retorik politik yang memualkan.

Jelas Anwar lagi, hak kerakyatan adalah hak yang paling fundamental dalam sebuah negara yang demokratik.

Bahagian tiga dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa, tiada seorang pun boleh dinafikan kerakyatannya di Malaysia.

Namun, masih ramai yang dinafikan hak tersebut kerana sejak sekian lama mereka telah diabaikan kerajaan BN.

“Kebanyakan mangsa adalah warganegara, melalui kuatkuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dan mereka dilahir dan dibesarkan di Malaysia.

“Mereka ini, samada tanpa dokumentasi atau dipaksa untuk menerima MyKad yang ditetapkan untuk bukan warganegara,” ujar beliau.

Sebelum ini satu kes  mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia apabila Reshina Batumanathan, seorang pelajar Tingkatan 5, lahir dan dibesarkan di sini berulangkali dinafikan MyKad.

Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan permit bukan warganegara kepadanya supaya beliau boleh menyambung persekolahannya.

Masa depannya kabur dan tidak menentu tanpa MyKad yang sepatutnya dimiliki beliau.

“Reshina dan ratusan ribu yang lain yang tidak punya dokumentasi pengenalan diri dipinggir di negara sendiri,” jelasnya.


Pengarang :