PTRS Bantu Anak Pekerja Kilang Raih Keputusan Cemerlang SPM | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

PTRS Bantu Anak Pekerja Kilang Raih Keputusan Cemerlang SPM

PETALING JAYA, 10 MEI : Selain doa ibu bapa dan usaha sehingga mencatat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), Sharina Sarimin,18, tidak melupakan fungsi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang melayakannya menerima Anugerah Khas Pelajar Cemerlang peringkat DUN Taman Medan.

“Saya merupakan harapan keluarga dan ingin menjadi seorang ahli Sains yang berjaya seterusnya mengubah nasib keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS di Dewan MBPJ malam tadi.


Bapanya, Sarimin Salleh ternyata berbangga dengan pencapaian anaknya dan berkata, beliau dan isteri hanya bekerja kilang dan berusaha mencari rezeki untuk anak-anak melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.

PTRS dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiga tahun lalu di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan memberi peluang kepada keluarga berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan menghantar anaknya ke program ini yang dijalankan secara percuma.

Selain itu, Sharina berkata, program PTRS berbeza dengan tuisyen berbayar kerana bagi pelajar yang berasal daripada golongan sederhana sepertinya, mereka akan lebih menghargai apa yang disediakan secara percuma demi mencapai cita-cita di masa hadapan.

“Suasana pembelajaran semasa PTRS berbeza kerana guru-gurunya gigih mencurahkan ilmu agar setiap pelajar sekurang-kurangnya memperbaiki sesuatu yang tidak boleh difahami semasa di sekolah,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Medan.

Sementara itu, 25 Pelajar Cemerlang SPM 2011 DUN Taman Medan turut diraikan dan diberikan penghargaan atas usaha yang ditunjukkan dalam SPM lalu.

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tunku Ampuan Jemaah, Muhd Qusyairei Paiman berjaya mendapat 7A dalam SPM lalu berkata, setiap pelajar boleh berjaya jika disertai dengan kesungguhan untuk memajukan diri dan cita-cita tinggi.

“Saya bercita-cita ingin menyambung pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah dan Usuluddin seterusnya menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS Peringkat DUN Taman Medan ini dihadiri oleh Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli-ahli Majlis MBPJ, Mohd Akhir Pawan Chek dan Selvarajan Ratinam.

Pada majlis itu juga, seramai 75 pelajar kawasan DUN Taman Medan menyertai PTRS diraikan dan diberikan fail sebagai simbol permulaan PTRS yang dijalankan mulai bulan Mac lalu.

Sehingga kini PTRS mencatatkan hampir 13,000 pelajar di setiap 52 kawasan DUN di Selangor serta berjaya meningkatkan keputusan SPM pelajar-pelajar terlibat.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION