NASIONAL SELANGOR

Pusat Perlu Bina Lebih Banyak Hospital Di Selangor

Gambar oleh Arif Ramly
SELAYANG, 1 MEI : Seiring dengan pertambahan penduduk, Kerajaan Pusat diminta memberi kepada kerajaan negeri membina lebih banyak hospital di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor adalah salah satu negeri tumpuan di negara ini dengan kehadiran penduduk dari negeri lain dan luar yang bertambah dengan pesat ketika ini.

Berikutan itu, pertambahan pesakit yang ditempatkan di hospital di negeri ini juga mencatatkan pertambahan hingga menyebabkan beberapa hospital mengalami kesesakan.

“Pertambahan penduduk kini pesat di Selangor. Sekarang dah lebih 5.3 juta orang dan pembinaan Hospital Shah Alam pula tergendala. Kita berharap Kementerian Kesihatan dapat bekerjasama dalam perkara ini.

“Kebanyakan hospital di Selangor kini menghadapi masalah pesakit yang ramai. Kita minta sekurang-kurangnya tambahan tiga lagi hospital di Selangor,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sri Andalas berkata, berdasarkan maklumat diterima, tiada perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi pembinaan hospital di Selangor walaupun kerajaan negeri bekerjasama dengan menyediakan lokasi bagi tujuan itu.

Menurutnya, kelahiran di Selangor adalah tinggi termasuk kehadiran orang luar yang bekerja dan melanjutkan pelajaran.

“Kebanyakan hospital di Selangor kini mencapai tahap maksima dengan pesakit yang ramai. Kalau kita tunggu lagi dan tiada tambahan hospital keadaan akan semakin sukar.  Contoh macam Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang yang kalau dilihat sudah tidak boleh mengambil pesakit lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan beberapa kawasan di negeri itu seperti di Tanjong Karang dan Kuala Langat manakala usaha menaiktaraf hospital seperti di Banting juga boleh dijalankan.

ends


Pengarang :