NASIONAL

Rahim Noor Perlu Mohon Maaf Segera Kepada Nik Aziz

SHAH ALAM, 9 MEI : Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor digesa segera memohon maaf kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas tohmahan biadap yang dilemparkan.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Nik Aziz merupakan seorang ulama, tokoh politik dan ilmuan Islam berwibawa yang dihormati serta disegani setiap lapisan masyarakat.

“Orang Islam mahupun orang bukan Islam menyanjungi pekerti Tuan Guru(Nik Aziz) dan menghormati kegigihan beliau mentadbir Negeri Kelantan selaku Menteri Besar demi kemaslahatan rakyat negeri tersebut.

“Sebagai Mursyidul Am PAS, Tuan Guru merupakan teladan kepada ahli PAS serta menjadi antara rujukan utama kepada Muslim seluruh negara,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Tambah Azmin , Nik Aziz telah menampilkan kepimpinan bertunjangkan pesan agama Islam dan menzahirkannya sebagai suatu bentuk dakwah bil hikmah.

“Namun kita dikejutkan dengan tohmahan biadap dan melampau mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menggelar Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai bapa kafir,” katanya.

Azmin menegaskan Rahim  sebenarnya tidak layak mempersoal keimanan dan keyakinan  Nik Aziz.

“Kedangkalan kenyataan mantan Ketua Polis Negara itu jelas terserlah malah dicemuh rakyat,” katanya.

Rahim Noor sebelum ini didapati bersalah membelasah Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan pada tahun 1999, atas desakan rakyat satu Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat insiden mata lebam.

Perbuatan Rahim telah mencemarkan imej negara dan institusi polis dan beliau didapati bersalah dan dipenjarakan.


Pengarang :