SELANGOR

Rancangan Selangor Beli Air Dari Terengganu Lebih Murah Dari Kerajaan Pusat

SHAH ALAM 27 MEI : Cadangan Kerajaan Selangor untuk mengambil bekalan air dari empangan di Terengganu hanya akan menelan belanja RM 700 juta, berbeza dengan pelan Kerajaan Pusat untuk mengambil air dari Pahang yang akan memakan belanja RM 8 billion.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pengambilan air dari empangan Terengganu akan menggunakan paip bawah tanah yang sedia.

Manakala cadangan kerajaan pusat akan menelan belanja yang besar kerana terpaksa membina rangkaian paip baru dan merentasi kawasan gunung bagi menyalurkan air dari Pahang.

“Kita tidak perlu susah-susah untuk korek gunung ganang untuk ambil air dari Pahang itu untuk disalurkan ke loji air Langat Dua.

“Kerajaan negeri sudah mempunyai rancangan sendiri, kita sudah mengenal pasti tempat yang sesuai dan kita juga mempunyai paip, rizab paip itu adalah sangat panjang dan mampu untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Katanya lagi, cadangan itu sudah dikemukan sebanyak lima kali ke Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Sri Peter Chin Fah Kui. Sehingga kini, Peter didakwa tidak memberi sebarang maklum balas terhadap lima permohonan Abdul Khalid untuk membincangkan racangan tersebut.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Lanjutan Tempoh Pajakan Tanah ke 99 tahun dan Penyampaian surat hak milik kepada peneroka Bukit Cherakah, di Dewan MBSA, Seksyen 13, di sini.

Sebelum ini, kerajaan pusat telah mencadangkan pelan untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Pahang ke Selangor bagi dirawat di loji Langat 2. Akan tetapi rancangan itu dibantah Kerajaan Selangor atas sebab kos yang tinggi.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat itu tidak memikirkan rakyat, rakyat akan menjadi mangsa dengan kos projek yang mahal itu,? kata Khalid.

“Jika projek itu dilaksanakan harga air akan naik tetapi dibawah kerajaan negeri sekarang kita boleh bagi air percuma selama 15 tahun.

?Tidak perlu membayar kenaikan harga air lebih dari 15 peratus berbanding kerajaan pusat yang meminta kenaikan harga air sebanyak 35 peratus,” katanya.


Pengarang :